top of page

KDN sokong keterbukaan industri perfileman, tapisan kekal seimbang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya industri perfileman negara diberikan ruang lebih terbuka untuk berkarya, bereksperimen serta menyampaikan pandangan secara kreatif dan kritis.


KDN berkata, aspirasi berkenaan selari dengan usaha memperkasa industri perfileman Malaysia supaya terus berkembang, inovatif, kompetitif dan relevan dengan perubahan masyarakat serta perkembangan teknologi.


Dalam kenyataan media hari ini, KDN menerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) menjelaskan bahawa klasifikasi dan penapisan merupakan dua proses berbeza tetapi saling melengkapi di bawah Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620].


"Klasifikasi menentukan kesesuaian sesuatu kandungan mengikut kategori umur penonton, manakala proses tapisan menilai kandungan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa.


"Justeru, pemberian sesuatu klasifikasi umur tidak bermaksud sesebuah filem dikecualikan daripada proses tapisan," kata kenyataan itu.


KDN berkata, setiap filem tetap melalui proses tapisan dan penilaian LPF, namun sesuatu kandungan tidak semestinya memerlukan pemotongan sekiranya hasil penilaian mendapati ia masih sesuai dikekalkan di bawah klasifikasi umur yang ditetapkan.


Menurutnya, penilaian dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek adegan, dialog, audio, tema, perlakuan dan konteks penceritaan.


"Pendekatan ini memberikan ruang kepada kreativiti untuk terus berkembang tanpa mengetepikan tanggungjawab LPF dalam menjaga kepentingan awam," katanya.


Bagaimanapun, KDN menegaskan ruang yang diberikan melalui klasifikasi umur tidak mengetepikan tanggungjawab LPF memastikan setiap kandungan mematuhi undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa.


Sekiranya sesuatu kandungan didapati tidak memenuhi ketetapan, LPF akan mempertimbangkan tindakan atau penyesuaian bersesuaian berdasarkan konteks dan tahap risiko.


"Kandungan yang tidak dapat disesuaikan bagi memenuhi ketetapan yang ditetapkan tidak akan diluluskan untuk tayangan," katanya.


KDN berkata LPF turut terus memperkemas pendekatan penapisan berteraskan keseimbangan antara keterbukaan berkarya dengan tanggungjawab melindungi kepentingan awam.


"Penilaian dilaksanakan berdasarkan kandungan, konteks dan risiko supaya kawal selia dapat dilaksanakan secara lebih bersasar, konsisten dan seimbang," kata kenyataan itu.


Dalam pada itu, KDN berkata kepentingan awam dan negara kekal menjadi pertimbangan utama dalam proses penapisan.


LPF turut mengambil kira kepentingan nasional dan sensitiviti hubungan antarabangsa sekiranya sesuatu kandungan berpotensi memberi kesan terhadap imej negara, keharmonian masyarakat atau hubungan Malaysia dengan negara lain.


Pada masa sama, tanggungjawab memelihara keselamatan, ketenteraman awam, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara akan terus dilaksanakan secara tegas dan profesional.


"Keterbukaan dalam berkarya dan tanggungjawab terhadap kepentingan negara perlu bergerak seiring. Keseimbangan ini penting dalam membina ekosistem perfileman Malaysia yang matang, berdaya saing dan diyakini masyarakat," menurut kenyataan itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page