top of page

KDN naik taraf 151 pos kawalan, tingkat keselamatan sempadan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 15
  • 2 min read
ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperuntukkan sebanyak RM45 juta bagi menaik taraf 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negara bagi memperkukuhkan keselamatan membabitkan perbatasan negara.


Kementerian dalam kenyataan berkata bagi keselamatan di pantai timur Sabah pula kerajaan meluluskan RM40 juta kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bagi pembinaan pejabat baharu serta 60 unit kuarters untuk pegawai dan anggota agensi itu.


"Ini bukan sekadar pelaburan fizikal, tetapi pelaburan atas moral dan kesiapsiagaan anggota barisan hadapan negara," kata kenyataan itu.


KDN berkata sejak awal pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri, usaha memperkasakan penguatkuasaan imigresen juga diteruskan secara tegas dan konsisten.


Katanya setakat ini, seramai 46,590 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 1,005 majikan telah berjaya ditahan, mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi KDN bagi menguatkuasakan undang-undang migrasi, menjaga ketenteraman awam serta memastikan peluang pekerjaan terus berpihak kepada warga tempatan.


"Hasil usaha berterusan ini, Malaysia kini berada pada tangga ke-13 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2025, manakala pasport Malaysia disenaraikan sebagai ke-11 paling berkuasa di dunia berdasarkan Henley Passport Index.


"Ini merupakan pengiktirafan global atas kecekapan dan keteguhan sistem keselamatan dalam negara yang dikemudi oleh KDN," ujarnya.


Dalam pada itu, kementerian itu berkata program Ihsan Madani: Kepulangan yang Dinanti pula membolehkan sebanyak 57,127 banduan menjalani pelepasan secara berlesen (PBSL) sekali gus memberikan ruang untuk mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan lebih bermaruah dan produktif.


Jelas kenyataan itu, sehingga 9 Julai lalu, sebanyak 4105 individu telah berjaya dipulihkan dan kembali ke alam pekerjaan hasil usaha padanan kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


"Jabatan Penjara Malaysia kini memberikan fokus kepada pendekatan pemulihan dan bukannya hanya menghukum. Hasilnya, kadar residivisme dalam kalangan bekas prospek semakin menurun, satu petunjuk bahawa pendekatan ini membuahkan hasil," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page