top of page

KDN lumpuhkan sindiket pemalsuan e-PLKS, 30 warga asing ditahan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar arkib
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Gambar arkib

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sindiket yang memanipulasi sistem pekerja asing dan memalsukan pas kerja sementara (e-PLKS), termasuk menerusi operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu penting bagi memastikan sistem pentadbiran imigresen tidak dieksploitasi sehingga mengancam keselamatan awam dan kedaulatan negara.


Beliau berkata, JIM baru-baru ini menyerbu 11 premis secara serentak di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur menerusi Ops Serkap.


"Melalui penguatkuasaan pantas dan tanpa kompromi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah KDN maka 11 premis di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur digempur secara serentak dalam Ops Serkap," katanya dalam kenyataan.


Menurut Saifuddin, seramai 40 pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan dalam operasi berkenaan, dengan 30 warga asing ditahan.


Katanya, mereka terdiri daripada 11 suspek yang dipercayai mengendalikan premis terbabit, termasuk 10 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, selain 19 warga asing lain atas pelbagai kesalahan imigresen.


Sebanyak 30 warga asing ditahan terdiri daripada 11 suspek dalang utama (10 lelaki, 1 wanita Bangladesh) yang mengendalikan premis, serta 19 lagi warga asing (16 Bangladesh, 1 Myanmar, 2 Indonesia) atas pelbagai kesalahan imigresen.


Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit serta 10 pasport antarabangsa Bangladesh.


Selain itu, sejumlah cetakan e-PLKS dan laporan polis palsu turut dirampas untuk tindakan lanjut.


Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati e-PLKS palsu dijual pada harga RM150 setiap satu, manakala laporan polis palsu ditawarkan pada harga RM70.


Kesemua tahanan kemudiannya dipindahkan ke Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.


Tegas beliau, kerajaan tidak akan membenarkan sindiket sedemikian terus mengambil kesempatan terhadap sistem imigresen negara.


"Sepanjang saya menerajui KDN, kami membuktikan bahawa kuasa pentadbiran mesti digunakan secara berani demi melindungi keselamatan negara," katanya.


Ujarnya, JIM kini tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya mengambil pendekatan lebih agresif bagi melumpuhkan rangkaian sindiket dari punca utama.


"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya bertindak secara menyerang untuk melumpuhkan punca utama sindiket. Kepimpinan KDN tegas memusnahkan rantaian penipuan ini dari akar umbi tanpa sebarang toleransi," katanya.


Saifuddin turut memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana warga asing atau rakyat tempatan yang melanggar undang-undang, memalsukan dokumen atau terlibat dalam aktiviti haram.


"Malaysia bukan padang permainan untuk penjenayah. Mana-mana pihak asing atau warga tempatan yang cuba melanggar undang-undang, memalsukan dokumen, atau mengendalikan aktiviti haram akan diburu, ditangkap, dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page