KDN laksana sistem imigresen bersepadu, kukuhkan keselamatan sempadan
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) secara berperingkat di semua pintu masuk negara meliputi udara, darat dan laut bermula 31 Mac ini.
KDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan sistem berkenaan merupakan langkah strategik bagi memperkukuh keselamatan sempadan melalui pendigitalan sistem imigresen yang lebih cekap, pantas serta mesra pengguna.
Menurut kementerian, pelaksanaan awal akan dimulakan secara rintis di beberapa lokasi terpilih, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor bagi mod udara bermula hujung bulan ini.
"Pelaksanaan seterusnya akan diperluas ke Kompleks ICQS Bukit Bunga (mod darat) pada 31 Mei, diikuti Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour (mod laut) mulai 30 Jun," menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan, pelaksanaan berperingkat ini dibuat susulan kejayaan fasa percubaan (trial run) NIISe yang berlangsung dari September 2025 hingga Februari 2026, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan sistem untuk diperluaskan ke seluruh negara.
Sepanjang tempoh percubaan tersebut, pelbagai inisiatif strategik berimpak tinggi telah dilaksanakan, termasuk pembangunan aplikasi mudah alih MyNIISe, pemasangan kemudahan eGate di lapangan terbang antarabangsa utama serta penggunaan kod QR di pintu masuk utama negara seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Selain itu, KDN turut melaksanakan pengaktifan Advance Passenger Screening System (APSS), penubuhan National Immigration Command Centre (NICC) di Putrajaya, Kuching dan Kota Kinabalu, serta pengukuhan infrastruktur data melalui pusat data (Data Centre, DC) dan pusat pemulihan bencana (Disaster Recovery Centre, DRC) bertaraf tinggi.
Dalam pada itu, aplikasi MyNIISe merekodkan sebanyak 1,780,425 muat turun dengan 897,673 pengguna berdaftar setakat 17 Mac lalu, melibatkan 616,730 warganegara Malaysia dan 246,946 warganegara Singapura.
Pelaksanaan sistem kod QR di BSI dan KSAB juga mencatat jutaan transaksi, sekali gus membuktikan keupayaan sistem dalam mengurus aliran pengembara dengan lebih pantas dan efisien.
"Pelaksanaan NIISe merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan nasional serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan imigresen melalui pendigitalan menyeluruh.
"Sehubungan itu, orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe lebih awal bagi memastikan kelancaran urusan imigresen apabila pelaksanaan penuh dilaksanakan secara berperingkat," kata KDN lagi.




Comments