KDN akan miliki data pelarian lebih terperinci melalui program DPP
- Suara Keadilan

- Jul 22
- 1 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka memperoleh data bagi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sebelum akhir tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, data yang akan diperolehi itu lebih kredibel dan terperinci, mengandungi semua maklumat tentang pelarian yang didaftarkan di negara ini dengan lebih lengkap untuk tujuan berkaitan.
"Dalam menguruskan isu pelarian, KDN melalui Jabatan Imigresen (JIM) menerajui satu projek yang kita namakan DPP. Kita sedang mulakan dan insya-Allah, hasilnya akan kita dapat sebelum tamat tahun ini.
"Kita akan mempunyai sejumlah data granular lebih lengkap mengandungi semua maklumat tentang pelarian yang berjaya kita daftarkan," katanya dipetik laporan media tempatan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan sedang melaksanakan program DPP bagi mengurus isu pelarian secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 (Semakan 2023).
Program itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan bahawa JIM berjaya memudah cara pelbagai inisiatif kerajaan, sekaligus meletakkan Malaysia di landasan cemerlang di peringkat global—termasuk meraih kedudukan teratas dalam Medical Tourism 2025.
Di samping itu, penubuhan dua Pusat Satelit Ekspatriat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut mempercepat urusan pelabur dan tenaga pakar dalam sektor strategik seperti semikonduktor.
"JIM kini berdiri sebagai sebuah institusi yang matang, dihormati dan terus berevolusi mengikut tuntutan semasa," katanya.




Comments