Karya kartunis Zunar, MADANI banteras korupsi dilancar hari ini
- Akmal Manaf

- May 29
- 2 min read

Kartunis reformasi, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar (gambar) bakal melancarkan buku ‘Membangun Masyarakat MADANI Versi Kartun’ sebuah karya yang mengangkat usaha pembanterasan rasuah, reformasi pentadbiran dan pengukuhan tatakelola Kerajaan MADANI menerusi ilustrasi kartun yang sarat dengan fakta dan mudah dihayati rakyat.
Buku berkenaan dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Selangor Pavilion, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada jam 11 pagi ini.
Zunar berkata, beliau akan berada di PBAKL pada setiap hari bagi mempromosikan karya terbaharunya yang berharga RM20 senaskhah itu.
"Ada sesuatu yang sangat berharga saya tidak pernah rasakan dalam era pemerintahan lalu.
"MADANI bukan slogan politik, ia adalah kerangka nilai dan akhlak. Kerana itu saya mengambil inisiatif selama setahun untuk menghasilkan buku ini dengan kajian fakta, menulis skrip dan melukis," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zunar lagi, kandungan buku itu turut mengupas iltizam kerajaan dalam memerangi rasuah, termasuk tindakan tegas dan berani menyiasat golongan berpengaruh termasuk yang bergelar Tun.
Selain itu, buku berkenaan juga ujarnya menceritakan bagaimana dana yang dirompak melalui kegiatan rasuah dirampas dan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan pendidikan, inisiatif untuk B40, pembinaan hospital dan sebagainya.
"Buku ini setebal 114 muka surat berwarna dengan setiap muka penuh dengan lukisan kartun dan sarat dengan fakta. Babnya ialah Membanteras Rasuah, Melumpuhkan Kartel, Melawan Penyeludupan, Subsidi Tersasar, Pengurusan Hutang, Tatakelola, Pelaburan, Sasar Negara Maju, Pendidikan dan Pembaharuan," katanya lagi.
Zunar merupakan figura yang tidak asing lagi di PBAKL kerana beliau pernah menyertai acara berkenaan pada beberapa edisi sebelum ini bagi mempromosikan karya-karya beliau.
Untuk rekod, PBAKL 2026 merupakan penganjuran kali ke-43 sejak diperkenalkan pada 1981 dan menghimpunkan 198 syarikat pempamer yang mengendalikan sebanyak 1,210 reruai.
PBAKL 2026 membuka tirainya hari ini di WTCKL dan akan berlangsung sehingga 7 Jun depan.




Comments