top of page

Karnival Kerjaya P Pinang di DUN Batu Uban buka peluang pekerjaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 17
  • 2 min read
Kumaresan bergambar bersama penerima bayaran faedah bantuan PERKESO di Karnival Kerjaya Pulau Pinang
Kumaresan bergambar bersama penerima bayaran faedah bantuan PERKESO di Karnival Kerjaya Pulau Pinang

Oleh: Akmal Manaf


Karnival Kerjaya Pulau Pinang 2025 peringkat DUN Batu Uban yang berlangsung kelmarin membuka ruang dan peluang pekerjaan secara langsung kepada penduduk setempat, sekali gus memperkasa tenaga kerja tempatan dan merancakkan ekonomi komuniti.


Bagi ADUN Batu Uban, A Kumaresan, sebagai wakil rakyat beliau sentiasa komited untuk memastikan isu pekerjaan sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan berkenaan.


"Saya tidak mahu sesiapa pun tertinggal dalam arus pembangunan negeri dan negara. Jadi saya ingin menyeru kepada semua yang hadir, rebutlah peluang yang ada, binalah jaringan, dan bersedialah untuk menyahut cabaran baharu.


"Jangan hanya menunggu peluang datang, sebaliknya binalah masa depan anda sendiri bermula dari hari ini," katanya dalam ucapan perasmian karnival berkenaan.

Kumaresan (tiga dari kanan) memnyerahkan sijil penyertaan kepada syarikat mengambil bahagian
Kumaresan (tiga dari kanan) memnyerahkan sijil penyertaan kepada syarikat mengambil bahagian

Kumaresan berkata, karnival itu merupakan penganjuran yang julung kalinya di kawasan tersebut dan penduduk sekitar tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mengambil peluang yang ditawarkan.


"Saya percaya platform seperti ini adalah langkah yang sangat relevan dan mustahak dalam suasana ekonomi semasa.


"Saya dimaklumkan oleh pihak PERKESO bahawa sebanyak 19 syarikat telah berdaftar bagi menyertai karnival ini, dengan tawaran jawatan sebanyak 1,516 kekosongan penjawatan.


"Antara syarikat yang turut serta ialah Flex, Ambu Sdn. Bhd Sam Engineering & Equipment, Ase Electronics Sdn Bhd serta syarikat-syarikat yang bukan sahaja kukuh dalam sektor industri tetapi juga terkenal dalam membangunkan tenaga kerja tempatan," katanya.


Menurut beliau, jumlah 1,516 peluang kerja bukanlah sekadar angka tetapi ia adalah simbol kepada peluang dan ruang untuk masa depan yang lebih baik dalam membuka lembaran baharu kepada anak-anak di Pulau Pinang terutamanya di kawasan Batu Uban.


Dalam era pasca-pandemik dan kemajuan digital yang semakin pesat, Kumaresan berkata, masyarakat tidak boleh berdiam diri, malah mesti menjadi perantara kepada transformasi pasaran kerja dengan menekankan pembangunan kemahiran, pengiktirafan TVET, keusahawanan digital, serta sokongan terhadap golongan rentan yang mencari peluang kedua dalam kerjaya.


"Karnival seperti ini adalah jambatan yang akan menghubungkan antara individu yang mencari pekerjaan dengan majikan.


"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran karnival ini, terutamanya kepada agensi pelaksana iaitu PERKESO Pulau Pinang, para urus setia dari Pejabat Pusat Khidmat DUN Batu Uban dan yang paling utama kepada syarikat-syarikat gergasi," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page