Kampung Sg Baru: Keutamaan kerajaan pastikan projek perumahan siap
- Suara Keadilan

- Oct 6
- 2 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) akan memberi penerangan khusus mengenai pembangunan semula Kampung Sungai Baru pada Khamis ini di Parlimen.
Beliau berkata sesi itu memberikan ruang kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mendapat maklumat menyeluruh mengenai masalah yang dihadapi dalam projek itu selain penyelesaian yang sudah diambil.
"Insya-Allah Khamis ini saya diberikan masa untuk penerangan menteri khusus untuk Kampung Sungai Baru.
"Ketika itu nanti banyak lagi perkara yang kita boleh jelaskan dengan lebih terperinci," katanya dipetik pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai status terkini Kampung Sungai Baru yang didakwa termasuk dalam kategori Penempatan Pertanian Melayu (MAS).
Zaliha berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk memastikan projek pembangunan semula di Kampung Sungai Baru yang dipersetujui majoriti penduduk dapat disiapkan memandangkan ia sudah tertangguh lebih enam tahun.
"Apa yang penting di Kampung Sungai Baru itu untuk kita memastikan penduduk yang sudah bersetuju diberikan rumah yang mereka sudah tunggu sekian lama sehingga lebih daripada sembilan tahun," ujarnya.
Beliau berkata kerajaan sedang meneliti model pembangunan ekonomi lebih kreatif dan lestari bagi mengekalkan komuniti Melayu di bandar khususnya dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai kenyataan bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB), Tan Sri Ambrin Buang pada Rabu lalu berkaitan status tanah dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes itu kini dirujuk di mahkamah.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini juga bertitah bahawa tiada halangan dari sudut melaksana pembangunan di kawasan Kampung Baru.
"Cuma (sekarang) bagaimana caranya untuk kita mengekalkan entiti Melayu di kawasan itu. Jadi kita sedang laksana pelbagai perancangan untuk memenuhi keperluan itu dan kita sedang dalam proses mencari mereka yang berminat untuk bersama dalam pembangunan di Kampung Baru," kata beliau.
Zaliha berkata perbincangan juga sedang dijalankan dengan pemaju dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk UDA Holdings Berhad bagi mencari bentuk kerjasama terbaik untuk projek itu.
"Yang penting bagi saya ialah memastikan penduduk yang telah bersetuju diberikan rumah yang mereka tunggu lebih sembilan tahun," katanya.









Comments