top of page

Kabinet lulus 17 syor perkukuh keselamatan KLIA, pintu masuk negara

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 20
2 min read

Jemaah Menteri semalam meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu-pintu masuk antarabangsa negara.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan bersama berkata syor berkenaan terkandung dalam memorandum bersama kedua-dua kementerian yang diluluskan Jemaah Menteri.


Menurut kenyataan itu, enam tindakan segera akan diberi keutamaan termasuk mempertingkatkan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.


Prosedur e-Vetting dan tapisan keselamatan turut akan diperkukuh terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor serta kontraktor yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.


Selain itu, kerajaan akan memperkukuh saringan dadah secara pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.


Kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik juga akan ditingkatkan sebagai langkah pencegahan, termasuk penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.


Perkongsian maklumat keselamatan dan risikan pula akan diperkukuh melalui National Immigration Command Centre (NICC).


Pada masa sama, Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian akan ditubuhkan segera bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.


"Enam langkah segera itu menjadi keutamaan dalam fasa jangka pendek manakala pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut melibatkan tindakan jangka sederhana dan panjang.


"Fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara," demikian kata kenyataan kedua-dua kementerian itu.


Kata kenyataan itu, pelan tindakan tersebut dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara termasuk penahanan seorang warga Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi.


"KLIA akan dijadikan lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan berkenaan sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian lokasi," ujarnya.


KDN dan MOT menegaskan kerajaan komited memastikan setiap syor dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan.


"Langkah ini akan memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia."


Semalam, media tempatan melaporkan jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan di pintu masuk negara telah diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk tindakan segera.


Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat negara ini termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama dengan kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, baru-baru ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page