Kabinet arah pelan komprehensif perkukuh keselamatan KLIA
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) telah diarah supaya mengemukakan pelan komprehensif menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan oleh Kabinet itu susulan "kejadian-kejadian baru-baru ini yang menjejaskan imej negara dan menimbulkan tanggapan wujudnya kelemahan dalam keselamatan lapangan terbang.
"Kabinet memandang serius insiden yang telah berlaku, kerana ia memberi gambaran bahawa kawalan keselamatan di lapangan terbang kita telah dilanggar.
"Langkah segera sedang diambil untuk merangka pelan penambahbaikan terperinci yang melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan tahap keselamatan terus diperkukuh," katanya dipetik pada sidang akhbar di Sandakan pada Jumaat..
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes melibatkan rakyat Malaysia termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, minggu lalu.
Terdahulu sebelum sidang akhbar tersebut, Saifuddin mengadakan lawatan dan tinjauan keselamatan di beberapa lokasi dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bersama delegasi perwakilan asing.
Tinjauan turut disertai Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos serta Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Ia bertujuan untuk menggalakkan diplomat dan wakil asing menyemak dan melonggarkan nasihat perjalanan untuk pantai timur Sabah, susulan keadaan keselamatan yang semakin baik di kawasan tersebut.
