top of page

Jenayah rentas sempadan: Kerjasama keselamatan perlu lebih pantas

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
3 min read
DS Saifuddin memberi ucapan di 2026 Conference of the Global Public Security Cooperation Forum
DS Saifuddin memberi ucapan di 2026 Conference of the Global Public Security Cooperation Forum

Kerjasama antara negara dan agensi penguatkuasaan perlu diperkukuh serta dilaksanakan dengan lebih pantas bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada negara mampu menangani ancaman keselamatan masa kini secara bersendirian berikutan jenayah semakin bergerak merentasi sempadan negara.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada 2026 Conference of the Global Public Security Cooperation Forum (Lianyungang) di China.


Menurutnya, kes penahanan seorang juruterbang bersama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, kerana disyaki menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM45 juta menjadi contoh jelas bagaimana sindiket jenayah beroperasi merentas beberapa negara.


"Maklumat kemudiannya dikongsi oleh Polis Nasional Indonesia (POLRI) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Hasil kerjasama dan tindakan susulan itu, enam anggota sindiket berjaya ditahan di Malaysia, termasuk empat yang sebelum itu melarikan diri ke Thailand dan Vietnam.


"Inilah realiti jenayah hari ini. Sindiket tersebut bergerak merentasi sekurang-kurangnya empat negara, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam," katanya.

Berkesempatan berdialog dengan peserta
Berkesempatan berdialog dengan peserta

Saifuddin berkata, perkembangan itu menunjukkan rangkaian kerjasama kerajaan dan agensi penguatkuasaan perlu lebih kukuh berbanding rangkaian yang digunakan sindiket jenayah.


"Penjenayah mempunyai rangkaian mereka. Maka rangkaian kerjasama antara kerajaan dan agensi penguatkuasaan mesti lebih kuat daripada mereka, dan tindak balas kita mesti lebih pantas daripada jenayah yang dilakukan," katanya.


Beliau berkata ancaman keselamatan kini meliputi keganasan, pemerdagangan orang, penyeludupan migran, dadah, jenayah siber, penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram yang menggunakan rangkaian rentas sempadan, sistem kewangan serta infrastruktur digital yang sama.


Katanya, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), komunikasi terenkripsi dan mata wang kripto turut dieksploitasi penjenayah bagi menyembunyikan identiti serta memindahkan wang haram merentasi pelbagai bidang kuasa.


"Jenayah sudah tidak mengenal sempadan. Respons kita juga tidak boleh terhenti di sempadan negara," katanya yang juga pemangku Timbalan Presiden KEADILAN.


Dalam pada itu, Saifuddin berkata Malaysia terus memperkukuh kerjasama keselamatan dengan China menerusi Perjanjian Kerjasama dalam Mencegah dan Membanteras Jenayah Rentas Negara yang dimeterai pada Jun 2024.


Menurutnya, perjanjian berkenaan menyediakan asas kukuh kepada tindakan bersama termasuk perkongsian maklumat, penyelarasan operasi dan siasatan.


Keperluan memperkukuh kerjasama itu, katanya, semakin mendesak apabila Malaysia merekodkan 141,107 kes penipuan dalam talian antara 2024 hingga Mei 2026.


Dalam penguatkuasaan narkotik pula, beliau berkata kerjasama dan perkongsian maklumat dengan China membantu dua operasi pada Ogos 2025 yang membawa kepada rampasan lebih satu tan Fentanyl Citrate di Malaysia.


Jelas Saifuddin, kerjasama dua hala antara Malaysia dan China perlu diterjemahkan kepada keselamatan serantau yang lebih kukuh.


Beliau berkata ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025, Kementerian Dalam Negeri memimpin enam siri mesyuarat utama ASEAN membabitkan kira-kira 600 delegasi.


Antara hasil pentingnya ialah ASEAN Plan of Action in Combating Transnational Crime 2026–2035, Melaka Declaration on Combatting Transnational Crime, ASEAN Declaration on Countering People Smuggling, ASEAN Declaration on Combatting Cybercrime and Online Scams serta ASEAN Border Management Cooperation Roadmap.


"Malaysia datang ke Lianyungang dengan pendirian yang jelas. Kita mahu menjadi rakan keselamatan yang konstruktif, boleh dipercayai dan berorientasikan hasil — bersama China, negara-negara ASEAN, rakan di seluruh Asia dan masyarakat antarabangsa," katanya.


Beliau turut menegaskan kerjasama keselamatan perlu berasaskan kepercayaan dan saling menghormati, selain memperkukuh institusi serta menghormati kedaulatan negara, undang-undang domestik dan kedaulatan undang-undang.


Tegas Saifuddin, teknologi semata-mata tidak mencukupi dalam menangani ancaman baharu sekiranya tidak disokong institusi keselamatan yang profesional, bertanggungjawab dan dipercayai rakyat.


"Teknologi mesti memperkukuh institusi keselamatan yang profesional, bertanggungjawab dan dipercayai rakyat.


"Kerana akhirnya, apabila negara dan agensi penguatkuasaan berkongsi maklumat, membina kepercayaan dan bertindak bersama, ruang untuk sindiket jenayah bergerak menjadi semakin sempit," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page