top of page

Jenama semula TH: Jangan hancurkan institusi umat dengan fitnah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 22
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Projek penjenamaan semula Tabung Haji (TH) tidak harus dijadikan polemik politik berasaskan emosi kerana ia adalah pelaburan strategik demi kelestarian institusi kewangan umat Islam itu, demikian kata bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).


Beliau berkata tuduhan bahawa TH dipengaruhi pihak luar hanya ulangan naratif lama yang dimainkan bagi menimbulkan kebencian sedangkan realitinya semua keputusan dilakukan secara telus dan berpandukan maslahat umat.


"Identiti Islam TH bukan ditentukan oleh siapa yang menguruskan penjenamaan, tetapi oleh hasilnya.


"Jika ia menampilkan imej Islam yang lebih profesional dan global, itu membanggakan umat, bukan sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata kos penjenamaan yang dipertikai sesetengah pihak juga tidak wajar dijadikan isu kerana ia berjumlah RM6.9 juta, jauh lebih rendah berbanding angka RM20 juta yang disebarkan pihak tertentu.


"Persoalannya, adakah kos ini mampu membawa masuk berbilion ringgit deposit baharu dan meningkatkan keyakinan penyimpan? Jika ya, ia bukan pembaziran, sebaliknya pelaburan. Kaedah fekah jelas menyatakan tindakan pemimpin bergantung kepada maslahat rakyat," ujarnya.


Mujahid turut menjelaskan pelantikan syarikat bukan Islam dalam urusan penjenamaan tidak bercanggah dengan syariah kerana ia soal kepakaran profesional, sebagaimana amalan sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke era kerajaan Uthmaniyyah.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa fitnah terhadap TH boleh membawa kesan besar termasuk pengeluaran panik yang menjejaskan kecairan aset, melemahkan kedudukan ekonomi Islam serta menggugat subsidi haji yang kini bernilai RM400 juta setahun.


"Yang rugi bukan Tabung Haji sahaja, tetapi umat Islam sendiri yang menghancurkan institusi Islam dengan fitnah dan sentimen," katanya.


Menurutnya lagi, umat Islam perlu rasional dalam menilai isu re-branding dan tidak mudah terperangkap dengan permainan persepsi politik.


"Tabung Haji adalah amanah besar umat Islam. Biarlah pimpinan yang berkelayakan menguruskan dengan penuh profesionalisme.


"Umat Islam perlu rasional, bukan terperangkap dengan emosi. Doakanlah agar TH kekal menjadi pemain utama memartabatkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam berprestij di peringkat global," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page