Kerajaan Negeri memulakan usaha penerangan secara komprehensif mengenai skim bantuan yang disediakan kepada rakyat Selangor melalui program Jelajah Selangor Penyayang di daerah Hulu Langat, semalam.
Jelajah sehari itu membariskan kaunter semua skim skim bantuan rakyat negeri Selangor untuk dimaklumi rakyat dan mengisi borang permohonan bagi yang layak.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiridin Shari, Kerajaan Negeri telah melalui beberapa fasa dalam memperkasakan skim bantuan rakyat sejak 2008.
Fasa terkini, katanya, lebih kepada memberi bantuan kesihatan dan perumahan kepada penduduk Selangor.
"Dulu kita letak asas untuk berkongsi kekayaan negeri pada tahun 2008 dan 2013, kita ingin pastikan hasil negeri dapat diberi balik kepada rakyat.
"Kita pastikan Selangor ada simpanan yang tinggi. Selangor ketika itu berjaya mencatat rizab lebih RM3 bilion dan kita kongsi dengan program air percuma, one stop centre.
"2013 hingga 2018 kita mengembangkan program kita daripada bermula 6 - 7 program kepada lebih 32 program di bawah inisiatif peduli rakyat. Dengan harapan rakyat dapat dibantu menangani kehidupan mereka, masalah kesihatan, masalah perbelanjaan. Kita ada program KISS, Peduli Sihat
"2018 dan ke atas Kerajaan Negeri melakukan penilaian semula kerana setelah 10 tahun wajar kita semak apakah yang kita lakukan bermanfaat dan mampu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. Ada program kita kekalkan, ubah, cantum dan ganti dengan program lain agar pada penggal ini kita berikan bukan hanya bersifat melegakan sementara atau daya penarik berterima kasih kepada Kerajaan Negeri tetapi memberdayakan rakyat," katanya.
Amirudin turut memberi contoh beberapa program yang telah dinaiktaraf selepas sedekad Pakatan Harapan memerintah Selangor.
Katanya program Peduli Sihat telah ditambah nilai dengan insurans kesihatan sejak 2 - 3 tahun lepas.
"Kita tambah saringan kesihatan. Bukan hanya ikuti program waktu sakit tetapi waktu sihat kita buat saringan supaya tidak perlu mendapat rawatan pada waktu yang kritikal
"Kita tambah nilai program Hijrah. Hijrah ini menambah pendapatan golongan usahawa mikro kepada berpendapatan sederhana
"Kita beri pinjaman, kita kutip balik pinjaman. Setelah kita reka bentuk dan tambah baik kita tambah program supaya lebih baik. Dulu RM50,000 maksimum kini boleh pinjam hingga RM100,000 untuk perkembangan perniagaan.
"Kita juga akan ubah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kepada Bingkas. Kita akan beri bantuan kepada bapa pula yang terpaksa menyara keluarga sendirian selepas isteri meninggal dunia atau meninggalkan keluarga tersebut," katanya.
Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu berkata Kerajaan Negeri telah berbelanja RM600 juta setahun dalam program bantuan rakyat berkenaan.
Namun, katanya, lebih banyak kerajaan memberi maka rakyat lebih mudah membayar cukai kerana menyedari dana yang diberikan tidak disia siakan dan kembali kepada golongan memerlukan.
"Orang membayar cukai dengan senang hati. Buktinya dalam pandemik lalu Selangor berjaya mencatat kutipan hasil yang sama dalam 2 tahun
"Walaupun kita belanja banyak rizab namun kita berada pada kadar selesa dengan rizab lebih RM3 bilion sebagaimana pencapaian menteri besar sebelum ini," katanya.
Dalam program itu juga Amirudin melancarkan projek rumah Idaman dan Harapan yang merupakan produk terbaharu Kerajaan Negeri
"Rumah Idaman RM250,000 harganya dan semi-furnised. Dilengkapkan dengan wardrope, hawa dingin, pemanas air di samping 2 parking kereta.
"Dua tahun lalu saya rasmikan di Kajang dan ada 2,059 unit telah siap. Hari ini ada 70,000 unit yang sedang dibina.
"Kita juga ada program projek rumah Harapan yang bukan secara langsung dari Kerajaan Negeri (bersama pihak swasta) dan kita pastikan rumah ini boleh dimiliki oleh rakyat negeri Selangor berpendapatan RM10,000 dan ke bawah
"Lembaga Perumahan ada di sini, MBI ada di sini, boleh tanya di mana kawasan perumahan yang kita bina," katanya lagi.
Comments