Jasa, pengorbanan pasukan keselamatan wajar dihargai - Dr Wan Azizah
- Suara Keadilan

- 21 hours ago
- 1 min read

Jasa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar dihargai kerana mereka sering berdepan risiko, tekanan kerja dan terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi menjalankan amanah menjaga ketenteraman awam.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail justeru berkata, kebajikan anggota dan keluarga pasukan keselamatan itu perlu terus diberi keutamaan selaras dengan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"PDRM ini amat penting dalam negara kita... jangan ambil mudah apa yang PDRM buat. Jadi, kita mesti jaga PDRM seperti yang dimahukan Perdana Menteri untuk jaga anggota yang menjaga keamanan negara kita," katanya dipetik.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata begitu ketika berucap pada Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd, di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Acara dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Penaung Yayasan Seri Negara, Tan Sri Dr Mazlan Lazim itu turut menyaksikan seramai 200 individu dalam kalangan asnaf warga PDRM menerima sumbangan wang tunai dan bakul, manakala tiga penerima lain turut menerima sumbangan kerusi roda.
Bantuan disalurkan melalui mekanisme zakat wakalah itu bagi membantu meringankan beban kewangan penerima termasuk perbelanjaan harian, pendidikan anak-anak dan keperluan asas keluarga khususnya dalam situasi kos sara hidup yang mencabar.
Menyentuh kepentingan zakat, Dr Wan Azizah berkata, amalan itu bukan sekadar tuntutan ibadah malah menyumbang kepada keseimbangan sosial dengan memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir terutama pada bulan Ramadan.




Comments