top of page

Janji dua Exco MIC: Pengundi semak sendiri rekod BN tadbir N Sembilan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 9 hours ago
  • 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menggesa pengundi di Negeri Sembilan menilai rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN), bukannya hanya bergantung kepada janji pilihanraya termasuk ikrar melantik dua wakil MIC sebagai Exco jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan.


Setiausaha Wanita KEADILAN, Sangeetha Jayakumar (gambar) berkata janji yang dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu wajar dinilai secara kritikal berdasarkan rekod pentadbiran BN sepanjang dua penggal terakhir sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Menurut beliau, sepanjang tempoh itu BN hanya memperuntukkan satu kerusi Exco kepada MIC dan satu kepada MCA, malah bagi penggal 2013 hingga 2018 tiada wakil MCA dalam barisan Exco negeri.


"Sebuah gabungan yang secara struktur memperuntukkan hanya satu kerusi setiap satu atau kurang selama 14 tahun, kini menjanjikan dua kerusi untuk MIC sahaja.


"Pengundi secara rasional boleh bertanya apakah perubahan struktur yang telah berlaku dalam BN selain daripada percaturan pilihan raya yang sengit untuk menjadikan janji tersebut boleh dipercayai kali ini," katanya dalam kenyataan.


Sangetha berkata keadaan itu berbeza dengan rekod pentadbiran PH di Negeri Sembilan sejak 2018 yang membentuk barisan Exco berdasarkan mandat diterima parti-parti komponennya tanpa memerlukan janji kuota sebelum pilihanraya.


Jelasnya Exco pertama PH bagi penggal 2018 hingga 2023 dianggotai 11 ahli membabitkan lima wakil DAP, empat KEADILAN dan dua AMANAH manakala barisan Exco semasa yang dibentuk pada Ogos 2023 turut mengekalkan empat wakil DAP.


Dalam pada itu, Sangeetha turut mendakwa sasaran pelaburan RM30 bilion yang ditawarkan BN dalam manifestonya sudah pun diatasi Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PH.


Menurutnya, berdasarkan angka Kerajaan Negeri, pelaburan diluluskan mencecah RM19.1 bilion pada 2025 dan hampir RM13 bilion bagi separuh pertama tahun ini, sekali gus melepasi sasaran RM30 bilion dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun.


Beliau berkata, hasil negeri juga meningkat daripada sekitar RM421 juta pada 2018 kepada kira-kira RM785 juta ketika ini, selain mencatatkan lebihan belanjawan selama empat tahun berturut-turut.


"Angka-angka ini sebahagian besarnya diperoleh daripada Kerajaan Negeri dan laporan yang berpihak kepada PH.


"Namun, tiada angka pelaburan atau lebihan belanjawan yang setanding daripada tempoh pentadbiran BN antara 2004 hingga 2018 yang dikemukakan dalam kempen ini untuk menyangkalnya," katanya.


Mengenai kerjasama tidak rasmi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan, Sangetha menegaskan pengundi kini mempunyai asas yang jelas untuk membuat pilihan.


"Pilihan yang rasional untuk pengundi Negeri Sembilan ialah Pakatan Harapan. PH bertanding di kesemua 36 kerusi di bawah namanya sendiri, dengan rekod pentadbiran selama lima tahun yang boleh diperiksa secara langsung oleh pengundi, dan bukannya satu janji yang hanya boleh ditebus jika gabungan itu menang," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page