Jalur Gemilang semarakkan semangat patriotisme di Batu Uban
- Suara Keadilan

- 14 minutes ago
- 1 min read

Semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara perlu terus disemarakkan dalam kalangan masyarakat sempena Bulan Kebangsaan, kata ADUN Batu Uban, A Kumaresan.
Beliau berkata penghayatan terhadap kemerdekaan penting dalam memastikan keamanan, keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum terus dipelihara.
"Sempena Bulan Kemerdekaan, marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara," katanya dalam kenyataan.
Menurut Kumaresan, beliau turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan penduduk serta badan pengurusan flat dan apartmen di sekitar KADUN Batu Uban.
"Saya berharap Jalur Gemilang ini dapat dikibarkan dengan penuh rasa bangga di kawasan kediaman masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan," katanya.
Beliau berkata pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sambutan kemerdekaan, malah menjadi tanda kecintaan rakyat terhadap negara dan penghargaan terhadap keamanan yang dinikmati.
"Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan, menghargai keamanan dan keharmonian yang kita nikmati, serta terus memelihara perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum," katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.
Kumaresan turut mengajak seluruh masyarakat menjadikan Bulan Kebangsaan sebagai ruang untuk memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan.
"Kibarkan Jalur Gemilang, semarakkan jiwa Merdeka! Selamat Menyambut Bulan Kebangsaan," katanya lagi.




Comments