top of page

JAKIM proaktif banteras ajaran sesat - Dr Zulkifli

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 59 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) sentiasa proaktif dan konsisten memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana dakyah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, masyarakat ketika ini sedang berhadapan cabaran baharu yang dibawa oleh evolusi digital dan ruang siber.


Ujarnya, realiti keadaan penyebaran ajaran sesat telah berubah daripada pertemuan fizikal secara rahsia kepada penggunaan platform media sosial serta aplikasi mesej tertutup.


"Peralihan kepada alam maya ini secara tidak langsung telah menyukarkan usaha pengesan awal oleh agensi penguatkuasaan memandangkan dakyah digital sebegini bergerak bebas melangkaui sempadan geografi.


"Selain itu terdapat kumpulan tertentu yang beroperasi secara tertutup dan berselindung di sebalik program lain seperti pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif serta pengajian agama tidak formal bagi menarik dan mempengaruhi masyarakat.


"Malah sesetengah fahaman ini tidak lagi tampil dalam bentuk ajaran agama yang jelas sebaliknya berlatarkan dengan elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Sabri Azit [PN-Jerai] tentang apakah kekangan Kerajaan bagi menangani penularan ajaran sesat di Malaysia dan berapa tangkapan yang telah dibuat dan apakah langkah intervensi bagi mengukuhkan akidah kumpulan yang telah jauh menyeleweng.


Menurut beliau, hasil kerjasama bersepadu yang melibatkan kolaborasi strategik antaranya JAKIM, JAIN, PDRM, SKMM, MKN, JPN, telah mencatatkan beberapa kejayaan signifikan.


Kejayaan tersebut ujarnya adalah melalui tindakan penguatkuasaan secara bersemuka Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan PDRM telah melakukan tangkapan terhadap 288 orang Jemaah Ahmadiyah Qadiani pada 31 Mei lalu.


"Selain itu Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dengan kerjasama PDRM, Imigresen, Bomba dan MBSJ telah menyerbu markas syiah di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya serta menahan 226 warga asing.


"Antara langkah intervensi menyeluruh menyelamatkan akidah individu dalam jangka masa panjang, usaha ini dilaksanakan secara bersepadu.


"Antaranya menyediakan khidmat nasihat secara berkala dan berfokus kepada ahli serta pemimpin kumpulan tersebut. Kedua menempatkan individu tersasar ke tempat pemulihan akidah berwarta berdasarkan perintah Mahkamah Syariah di pusat yang ditentukan dan diwartakan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page