Isu integriti: Kerajaan harus bertindak seiring harapan rakyat - Kasturi
- Akmal Manaf

- 17 hours ago
- 2 min read

Tuntutan generasi muda terhadap ketelusan dan integriti institusi kini semakin lantang, sekali gus memerlukan kerajaan memikirkan langkah lebih drastik, termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam menyelesaikan kemelut sesuatu isu serius.
Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi (gambar) berkata, penubuhan RCI boleh memastikan ketelusan, memulihkan keyakinan dan menunjukkan bahawa tiada institusi yang terkecuali daripada penelitian bebas.
"Gagasan Madani akan dinilai melalui keberanian untuk bertindak apabila kredibiliti institusi dipersoalkan.
"Memperkukuh mekanisme semak dan imbang, memastikan ketelusan dalam proses penguatkuasaan, serta memperteguh struktur akauntabiliti perlu dilaksanakan tanpa berlengah.
"Kini, jangkaan terhadap kepimpinan adalah jelas. Ini adalah masa untuk membuktikan bahawa akauntabiliti dan integriti bukan sekadar komitmen, tetapi tindakan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Karen menyifatkan Himpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung pada Sabtu lalu tidak wajar dilihat sebagai peristiwa yang sementara.
Sebaliknya, kata beliau, ia mencerminkan satu tuntutan yang semakin jelas dan meningkat khususnya daripada generasi muda Malaysia terhadap ketelusan, akauntabiliti dan integriti institusi.
"Apa yang kita saksikan bukanlah ketidakstabilan, sebaliknya mencerminkan kematangan politik. Ia menunjukkan wujudnya satu generasi yang berinformasi, berdisiplin dan tidak lagi bersedia menerima ketidak jelasan dalam soal tadbir urus.
"Sebagai Wakil Negara (Malaysia) bagi ASEAN Democracy Leaders Alliance (ADLA), saya melihat ini sebagai satu perubahan di peringkat serantau, di mana golongan muda tidak lagi sekadar menjadi pengundi, tetapi tampil sebagai pemegang taruh yang menuntut akauntabiliti dan integriti dalam sistem demokrasi.
"Pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum perhimpunan berlangsung merupakan satu langkah yang wajar.
"Namun, perubahan individu sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan awam," katanya lagi.
Tegas Kasturi, isu yang dibangkit menyentuh kekuatan sistem, tahap akauntabiliti dan kebebasan institusi perlu juga diperhatikan secara saksama.




Comments