top of page

Internet selamat perlu diperluas hingga ke akar umbi - ADN Meru

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
9 hours ago
2 min read
Mariam memberi ucapan pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Daerah Klang
Mariam memberi ucapan pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Daerah Klang

Kempen kesedaran internet selamat perlu diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan masyarakat, khususnya golongan remaja, mempunyai keupayaan menilai dan menapis maklumat yang diterima melalui media sosial, kata ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid.


Menurutnya, masyarakat bukan sahaja berdepan risiko menjadi mangsa penipuan, malah penyebaran maklumat palsu dan kandungan negatif berpotensi mempengaruhi pemikiran masyarakat sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta kestabilan sosial.


"Amat penting untuk mengadakan program kesedaran internet kerana semakin hari kita tidak dapat mengawal mereka yang mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu dan mempengaruhi pemikiran masyarakat ke arah negatif," katanya ketika ditemui pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Daerah Klang di Dewan Meru, Klang.


Mariam berkata, penyebaran maklumat yang tidak ditapis juga boleh memberi kesan lebih besar sekiranya masyarakat tidak mempunyai kemahiran untuk membezakan antara maklumat yang sahih dengan kandungan palsu atau mengelirukan.


Beliau berkata, Klang sebagai antara kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta demografi masyarakat yang pelbagai menjadikan usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan internet sesuatu yang perlu diberi perhatian berterusan.


Sehubungan itu, beliau mahu program berkenaan tidak terhenti pada peringkat negeri atau daerah sahaja, sebaliknya diperluaskan menerusi penglibatan komuniti setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Kempen internet selamat mendapat sambutan masyarakat setempat di DUN Meru
Kempen internet selamat mendapat sambutan masyarakat setempat di DUN Meru

"Kalau saya fokuskan kepada DUN Meru, kita perlukan penglibatan komuniti dan persatuan penduduk supaya penyampaian berkaitan internet selamat sampai kepada masyarakat di peringkat paling bawah.


"Program ini perlu diadakan di masjid, surau, persatuan penduduk dan KRT (Kawasan Rukun Tetangga)," katanya.


Mariam turut mencadangkan supaya kempen berkenaan diperluaskan ke seluruh daerah Klang dengan melibatkan pelbagai institusi serta rumah ibadat, termasuk masjid, kuil dan tokong, bagi memastikan mesej keselamatan internet dapat disampaikan kepada kelompok masyarakat yang lebih luas.


Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan menjadikan sekolah sebagai antara lokasi utama program kesedaran internet selamat kerana golongan remaja merupakan antara pengguna aktif internet dan media sosial.


Katanya, golongan remaja perlu dibimbing supaya mampu menilai, menapis dan mengesahkan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.


"Remaja adalah segmen yang mudah menerima maklumat, terutama maklumat yang pertama mereka terima. Jadi kita mahu mereka bijak menilai dan menapis berita, perkara negatif, akaun palsu dan sebagainya," ujarnya.


Beliau berkata, walaupun golongan dewasa dan warga emas turut terdedah kepada akaun palsu serta penipuan dalam talian, perhatian khusus perlu diberikan kepada generasi muda memandangkan tahap akses mereka terhadap platform digital dan media sosial adalah tinggi.


Dalam pada itu, Mariam menyambut baik sambutan masyarakat terhadap Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 yang disifatkannya amat menggalakkan.


Beliau turut menghargai usaha MCMC Selangor memilih Meru sebagai lokasi program, selain penglibatan agensi kerajaan negeri dan usahawan yang membuka reruai jualan bagi membantu mempromosikan perniagaan serta merancakkan ekonomi setempat.


"Program sebegini memang amat baik kerana bukan sahaja memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai internet selamat, tetapi turut memberi ruang kepada agensi dan usahawan tempatan untuk memperkenalkan perkhidmatan serta perniagaan mereka," katanya.


Mariam berkata, usaha memperkukuh literasi digital perlu dilakukan secara berterusan dan dekat dengan komuniti supaya kesedaran mengenai keselamatan internet tidak hanya tertumpu kepada kempen berskala besar, tetapi benar-benar difahami dan diamalkan di peringkat masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page