
Oleh: Biro Mahasiswa AMK Malaysia
Tatkala kita tidak boleh membenarkan penghinaan kepada mahasiswa dan golongan B40 oleh seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tular, satu muhasabah besar perlu dibuat berdasarkan kejadian yang berlaku dengan melakukan refleksi terhadap beberapa perkara setelah lebih beberapa hari video ini tular :
Agihan bantuan komputer riba
Lambakan fakta ini menerangkan keadaan sosio ekonomi mahasiswa sebagai dampak pandemik COVID-19 diganding dengan trend perbelanjaan isi rumah bagi B40:-
i) Anggaran 100,800 mahasiswa UiTM atau sebanyak 63% berada dalam kategori pendapatan isi rumah B40.
ii) Sehingga 17,613 mahasiswa pada tahun 2021 berbanding 13,291 mahasiswa pada tahun 2020 dikategorikan sebagai tercicir daripada meneruskan pengajian di UA, sama ada menangguh atau menamatkan pengajian akibat kesan pandemik kepada keluarga dan lain-lain, berdasarkan jawapan oleh Menteri Pengajian Tinggi kepada Soalan Bertulis Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Akmal Nasir minggu lalu.
iii) Kumpulan B40 memperuntukkan perbelanjaan ke atas makanan lebih tinggi iaitu sebanyak 24.2 peratus berbanding 18.0 peratus oleh M40 dan hanya 12.6 peratus oleh T20, menurut Laporan Survei Isi Rumah Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam keadaan mahasiswa menghadapi kesukaran akibat dampak pandemik ini, apakah yang terjadi kepada usaha mengagih bantuan komputer riba kepada mahasiswa yang memerlukan ? Butiran-butiran ini dipersoalkan :

i) Apakah rasional inisiatif PerantiSiswa yang mengagihkan tablet kepada mahasiswa B40 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 sedangkan sudah terang lagi bersuluh keperluan semasa mahasiswa adalah komputer riba ?
ii) Apakah rasional agihan PerantiSiswa ini yang diumumkan sejak tahun lalu mengalami kelewatan agihan, tambahan menurut jawapan kepada Soalan Bertulis di Parlimen oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia minggu lalu bahawa perolehan masih belum dimuktamadkan sehingga sekarang ?
iii) Apakah sumbangan, inisiatif atau tindakan pantas Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri tahun lalu dengan suntikan sebanyak RM5,000,000 yang bermatlamat untuk memastikan mahasiswa dibantu atas kepercayaan tiada mahasiswa yang tercicir ?
iv) Apakah strategi kerajaan selepas Menteri Kanan Pendidikan mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat pada 14 Mac 2022 bahawa seluruh pelajar di Malaysia boleh dibekalkan dengan peranti sekiranya negara tidak mengalami masalah kewangan ?
Baru-baru ini juga, Biro Mahasiswa AMK Malaysia telah mengadakan perjumpaan meja bulat bersama dengan gerakan-gerakan mahasiswa dan mendapat maklum balas bahawa salah satu kerisauan besar mereka terkait kos sara hidup adalah untuk memiliki komputer riba, dengan kelewatan kerajaan mengagihkan pinjaman PerantiSiswa dan kelewatan sesetengah universiti mengagihkan bantuan komputer riba cukup membimbangkan.
Ruang untuk memberi maklumat
Kami ingin mengambil perhatian terhadap dakwaan rambang dan perbincangan yang dibuat berlegar di media sosial terkait kaedah si pemberi maklumat yang dikatakan hanya melakukan pendedahan selepas individu tersebut bergraduasi daripada universiti. Sekiranya diperhalusi perkara ini, perbincangan seputar terhadap punca utama isu ini hanya diwara-warakan kepada media dan awam selepas bergraduasi adalah kerana kebimbangan pemberi maklumat untuk memberi maklumat dengan selamat.
Masih menjadi stigma dalam kalangan mahasiswa di kebanyakan Institut Pengajian TInggi bahawa individu pemberi maklumat tentang salahlaku atau perilaku mana-mana kakitangan universiti yang kurang memuaskan akan ditahan dan digagalkan daripada kursus atau pengajian tersebut. Ini adalah stigma yang tidak sihat untuk mahasiswa kerana suara mereka seolah-olah disekat dan diancam keselamatan serta masa hadapan sekiranya membuat apa-apa laporan mengenai situasi tersebut.
Pelantar sedia ada sama ada melalui Unit Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti, Unit Integriti dan sebagainya perlu menjadi pelantar yang diyakini dalam menerima maklumat dan melakukan penyiasatan. Pemberi maklumat harus dilindungi melalui sistem yang adil, selamat dan terjamin.
Keberkesanan survei pengajaran
Setiap IPT di Malaysia mempunyai sistem survei tenaga pengajar masing-masing yang bertujuan untuk memberi ruang kepada mahasiswa membuat penilaian secara terperinci terkait prestasi tenaga pengajar, impak proses pengajaran dan pembelajaran, serta memberikan cadangan bagi penambahbaikan pada setiap hujung semester pengajian.
Perbincangan yang berlegar di media sosial menunjukkan penghinaan yang di luar ruang lingkup munasabah oleh pensyarah yang tular ini berlaku lebih daripada sekali yang berlarutan dari beberapa tahun lepas lagi mengajak kita bermuhasabah terhadap keberkesanan survei pengajian yang dijalankan. Hal ini dipercayai kerana keputusan sistem survei terhadap tenaga pengajar ini mempunyai kelonggaran dalam pelaksanaannya. Oleh yang demikian, pihak bahagian akademik di semua IPT haruslah mengambil serius dan memurnikan kesan serta impak survei ini agar penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan survei yang dilakukan tersebut.
Kami menyambut baik komitmen pengurusan UiTM untuk menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian seperti dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam dan menggesa usaha ini disegerakan dan diimplementasi secara mampan di IPT lain.
Sudah pasti syor yang dibuat ramai pihak supaya pensyarah ini dikenakan tindakan tatatertib, jika dibuktikan bersalah adalah berpatutan, tetapi penekanan supaya mekanisme semasa dicekapkan demi kepentingan yang lebih besar - ramai dan dalam jangka masa yang panjang juga adalah penting.
Perlu reformasi universiti
Tuntasnya, tiga reformasi tatakelola universiti didambakan mahasiswa iaitu terkait i) pengagihan bantuan semasa, ii) ruang untuk memberi maklumat dan iii) keberkesanan survei pengajian bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
Kami berpandangan bahawa akar kepada permasalahan ini juga adalah akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam memastikan bantuan yang diberikan adalah sampai kepada yang memerlukan dan item bantuan yang diberikan adalah mengikut keperluan semasa penerima, juga dengan berusaha melalui iltizam yang tulus menyediakan ruang memberi maklumat yang dipercayai dan meningkatkan keberkesanan survei pengajian semasa.
________________________________________________________________________________
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi Biro Mahasiswa AMK Malaysia
Comments