Insiden Jalur Gemilang: Jangan jadikan modal politik - AMK Perak


Insiden yang melibatkan pengibaran Jalur Gemilang secara tidak wajar yang berlaku baru-baru ini di beberapa negeri, perlu dilihat secara konsisten berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak, Ashraf Kahasani (gambar) menegaskan, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan modal politik atau dinilai mengikut kecenderungan partisan.
"Kami berpandangan bahawa sebarang tindakan yang melibatkan pemasangan, pengibaran atau penggunaan Jalur Gemilang secara tidak wajar perlu diteliti berdasarkan keadaan dan fakta setiap kes.
"Sekiranya terdapat unsur kecuaian, pelanggaran peraturan atau kesalahan di sisi undang-undang, pihak berkuasa hendaklah menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa Ashraf berkata, pihaknya turut menolak sebarang pendekatan yang bersifat dwistandard dalam isu yang menyentuh simbol kedaulatan negara.
Tegas beliau, Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan senjata politik dan prinsip undang-undang mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa hipokrasi.
"Tiada kompromi terhadap penghormatan kepada Jalur Gemilang dan tiada tempat untuk standard dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang," katanya lagi.




Comments