top of page

Inisiatif Simen Rahmah 2026 kurangkan kos binaan, bantu rakyat miliki rumah

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • May 22
  • 2 min read

Inisiatif Simen Rahmah 2026 yang diperluaskan kerajaan dilihat sebagai langkah intervensi langsung bagi membantu mengurangkan kos pembinaan rumah mampu milik, sekali gus meringankan beban rakyat dalam suasana ekonomi global yang mencabar.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kerajaan tidak hanya bergantung kepada retorik dalam isu perumahan rakyat, sebaliknya melaksanakan pendekatan praktikal melalui pengurangan kos bahan binaan utama.


"Inisiatif itu diperkenalkan ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan kos logistik yang memberi kesan langsung kepada harga bahan binaan.


"Kerajaan MADANI sedang melaksanakan pelbagai intervensi nyata untuk membantu rakyat termasuklah dalam isu kos pembinaan rumah mampu milik," katanya dalam kenyataan.


Aiman Athirah berkata, konflik antarabangsa yang berpanjangan turut memberi tekanan kepada harga minyak dunia, kos pengangkutan dan import bahan mentah sehingga menyebabkan kos pembinaan meningkat di banyak negara.


"Namun dalam suasana mencabar inilah Kerajaan MADANI mengambil pendekatan proaktif untuk mengawal impak kepada rakyat," katanya.


Program Simen Rahmah mula diperkenalkan kerajaan pada April 2023 menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sebagai langkah menstabilkan kos pembinaan rumah mampu milik susulan kenaikan mendadak harga bahan binaan pasca pandemik Covid-19.


Pada pelaksanaan awal, skim itu menawarkan satu juta tan metrik simen pukal pada harga RM290 setan metrik berbanding harga pasaran sekitar RM410 ketika itu, selain simen kampit 50 kilogram pada harga RM17.50.


Kerajaan ketika itu menjangkakan langkah berkenaan mampu membantu mengurangkan harga rumah mampu milik sehingga sekitar RM5,000 seunit.


Bagi fasa terbaharu 2026, kerajaan memperluaskan skim berkenaan dengan kuota meningkat kepada 1.6 juta tan metrik bagi menyokong pembinaan kira-kira 500,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


Di bawah inisiatif itu, simen pukal kini ditawarkan pada harga RM290 satu tan metrik berbanding harga pasaran RM425, manakala simen kampit 50 kilogram dijual pada harga RM17.50 berbanding RM24.90 di pasaran.


Menurut Aiman Athirah, langkah berkenaan memberi penjimatan hampir 30 peratus kepada sektor pembinaan rumah mampu milik.


"Inisiatif ini melibatkan kuota sehingga 1.6 juta tan metrik simen bagi menyokong pembinaan sekitar 500,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK13," katanya.


Beliau berkata Malaysia ketika ini berada dalam keadaan lebih bersedia berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara dalam menghadapi cabaran ekonomi global.


Katanya, kadar inflasi negara masih terkawal, nilai ringgit menunjukkan pemulihan, manakala pelaburan langsung asing terus meningkat terutama dalam sektor semikonduktor dan digital.


"Kerajaan juga mengambil pendekatan lebih seimbang, bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan tetapi memastikan rakyat mendapat perlindungan melalui bantuan bersasar, kawalan harga, subsidi, inisiatif makanan dan kini intervensi kos bahan binaan seperti Simen Rahmah," katanya.


Beliau berkata, kerajaan mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan, namun usaha yang sedang dilaksanakan tidak wajar dinafikan sepenuhnya.


"Ketika dunia bergolak, kerajaan memilih untuk bekerja. Ketika ekonomi global tidak menentu, kerajaan cuba memastikan rakyat tidak dibiarkan menanggung beban sendirian," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page