top of page

Industri kreatif perlu patuhi syarak dalam berkarya, tolak unsur sensual - Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa penggiat industri kreatif supaya memperkukuh pematuhan terhadap adab, etika dan prinsip Maqasid Syariah dalam penghasilan karya, susulan kegelisahan masyarakat terhadap penayangan drama yang memaparkan babak sensual serta unsur manipulasi atas alasan seni atau kesedaran sosial.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, meskipun usaha menyampaikan realiti menerusi karya seni boleh difahami, penyampaian yang mengghairahkan dan dijadikan bahan pemasaran berisiko menenggelamkan mesej pengajaran sebenar.


"Walaupun niat menyampaikan realiti difahami, cara penyampaian yang mengghairahkan serta dijadikan modal pemasaran berisiko menenggelamkan mesej pengajaran sebenar.


"Sehubungan itu, kami mendesak agensi berkaitan membuat penilaian semula secara menyeluruh, serta mengambil tindakan sekiranya terbukti melanggar garis panduan," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, penyebaran klip babak terlampau di media sosial turut dikhuatiri membiasakan norma buruk dalam masyarakat dan memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi serta sahsiah remaja.


Menurutnya, penggiat seni dan platform media perlu memastikan angka tontonan serta keuntungan perniagaan tidak mengatasi aspek keberkatan dan syarat kelestarian iman dalam berkarya.


"JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh warga industri kreatif untuk kembali menghayati acuan adab, etika dan Maqasid Syariah, kerana mendidik masyarakat tentang kerosakan tidak seharusnya dilakukan dengan merosakkan pandangan penonton," katanya.


Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan agensi berkaitan akan dipertingkatkan menerusi semakan kandungan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015).


Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kandungan yang disiarkan tidak menjejaskan kesucian agama serta mengambil kira kesan karya terhadap masyarakat.


"Seni yang hebat ialah seni yang menyentuh jiwa tanpa melangkaui garis panduan Syarak, memandangkan setiap karya yang ditonton jutaan manusia pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ kelak," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page