Indahkan pantai di Bagan Pinang, tingkat ekonomi penjaja - Nasir
- Helmi Mohd Foad
- 1 hour ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Bagan Pinang, Nasir Raman(gambar) memberikan komitmen untuk meningkatkan kemajuan lokasi pantai peranginan di kawasan Port Dickson yang mampu menarik dua juta pengunjung sebulan sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti.
Beliau yang berasal dari Kampung Sawah Chuah, Bukit Pelanduk berkata sejak menjadi penyelaras DUN Bagan Pinang pada 2020, usaha tersebut telah dilakukan termasuk menyusun kedudukan penjaja food truck di kawasan pantai tersebut.
"Apa yang kita telah buat di pantai Bagan Pinang dan Saujana sudah ada penambahbaikan penjaja food truck, diatur dengan baik dan ada pemindahan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk bangun dan indahkan pantai," katanya ketika melakukan walkabout menemui pengundi di kawasan pantai tersebut, semalam.
Nasir, 56, yang merupakan Ketua AMANAH Port Dickson berkata selepas ini pihaknya berusaha untuk meluaskan jajaran pantai yang dapat dibangunkan serta diperindahkan untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.
"Jajaran seterusnya selain fokus kepada pantai Saujana hingga sampai ke hujung menjadi jajaran aktif di mana pengunjung boleh beriadah dan bersantai bersama keluarga masing-masing," ujarnya.
Jelas beliau, kehadiran pengunjung memang tinggi dengan sasaran dua juta sebulan melalui acara-acara yang dirancang pihak PBT.
"Dua minggu sekali ada acara diadakan yang dapat menghasilkan pertumbuhan ekonomi untuk penjaja. Ini semua akan ditambah baik untuk tingkatkan keupayaan ekonomi mereka," katanya.
Nasir yang berdepan pertandingan tiga penjuru berkata penambahbaikan juga akan dilakukan dengan menyediakan kemudahan tempat ibadah seperti surau agar memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Selain itu, katanya, aktiviti perniagaan untuk anak muda juga akan dipertingkatkan agar mereka dapat menambah rezeki selain menceriakan kawasan pantai peranginan tersebut.
Dalam pada itu katanya, sejak mentadbir Negeri Sembilan pada 2018, masyarakat telah dapat menerima dengan baik gabungan PH.
"Gabungan ini telah diterima pengundi dan saya mempunyai keyakinan kerjasama ketiga-tiga parti politik ini (KEADILAN, DAP dan AMANAH) dapat melakukan penambahbaikan," ujarnya yang kali pertama bertanding.
