Ikrar selesaikan isu asas, angkat pendidikan, ekonomi DUN Tulid
- Suara Keadilan

- Nov 24
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Tulid, Datin Rufinah Pengeran tekad menyelesaikan semua isu kemudahan awam di kawasan itu sekiranya diberi mandat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini.
Tegasnya, beberapa kawasan di Tulid masih berdepan masalah kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, jalan raya dan jambatan yang memerlukan penyelesaian segera.
"Kalau diberi mandat oleh rakyat, saya akan memfokuskan isu kemudahan asas rakyat. Salah satunya yang terpenting adalah menyelesaikan isu air bersih di kawasan Transbagalan Tulid dan Tulus Madi Tulid.
"Selain itu kita kenal pasti beberapa jalan dan jambatan yang perlu penambahbaikan, kemudahan ini penting untuk orang-orang kampung mengeluarkan hasil pertanian mereka dari kebun
"Isu jambatan sudah dibawa kepada pegawai khas Perdana Menteri. Peruntukan memang sangat tinggi dan kita akan usahakan untuk minta bantuan daripada kerajaan Pusat," katanya dipetiki ketika bertemu pengundi di Kampung Monggorimot.
Rufinah yang juga Ketua Wanita KEADILAN Sabah sementara itu berkata, beliau turut akan memberi perhatian khusus untuk memperkasa pendidikan serta pembangunan ekonomi rakyat Tulid.
"Anak-anak kita ini semua hebat-hebat tapi peluang mereka belajar ke peringkat lebih tinggi sedikit terhad, Dengan bantuan kerajaan Madani, mereka boleh belajar secara percuma.
"Di sini kita juga perlu pusat tuisyen percuma sebagai sokongan awal terutama untuk pelajar peringkat sekolah rendah,” tambahnya.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov ini.
Kerusi DUN Tulid kali pertama dipertandingkan pada PRN ke-16 mempunyai 16,551 pengundi. Pada PRN kali ini Rufinah, calon nombor 4 dalam kertas undi akan berdepan pertandingan sengit 14 penjuru.









Comments