top of page

'Hutang era PM Najib cecah RM1 trilion, jangan salahkan pihak lain'

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
16 hours ago
2 min read

Naratif mengenai hutang negara yang dimainkan laskar siber Barisan Nasional (BN) pada waktu ini hanya mengetengahkan angka hutang rasmi Kerajaan Persekutuan sebelum bertukar tangan ke Pakatan Harapan 1.0 pada 2018, sedangkan jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan pada akhir 2017 telahpun mencecah RM1.087 trilion.


Menurut seorang pempengaruh, Faiz Ahmad, menjelang pembentangan Belanjawan 2027, kedudukan hutang negara sewajarnya dilihat rakyat berdasarkan keseluruhan komitmen kewangan kerajaan, dan bukan semata-mata berdasarkan hutang rasmi Kerajaan Persekutuan.


"Asas paling mudah selagi mana belanjawan kita masih defisit, selagi itulah hutang akan bertambah setiap tahun.


"Kita memang defisit sejak zaman Tun Dr Mahathir (memerintah kali pertama 1981 - 2003) lagi, angka yang digambarkan oleh Lim Sian See, hutang zaman Najib hanya RM686.8 bilion, (sebenarnya) disorokkan angka hutang sebenar.


"Hutang sebenar dan liabiliti akhir tahun 2017 sudah cecah RM1.087 trilion pada zaman Najib," katanya dalam satu siaran video.


Ujarnya, angka RM686.8 bilion yang sering dikaitkan dengan hutang kerajaan pada akhir 2017 sebenarnya merujuk kepada hutang rasmi Kerajaan Persekutuan, manakala jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan pada ketika itu turut merangkumi beberapa komitmen kewangan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melaksanakan projek projek besar.


Katanya, angka berkenaan tidak merangkumi sepenuhnya beberapa komitmen lain seperti jaminan kerajaan, hutang entiti tertentu serta komitmen pembayaran projek kerjasama awam-swasta (PPP).


"Semua itu kerajaan kena bayar (sebab) kerajaan jamin. Kerajaan kena bayar, siapa (lagi) nak bayar.


"Kalau kumpulkan semua hutang kerajaan zaman Najib sebenarnya dah cecah RM 1 trilion," katanya lagi.


Kebelakangan ini isu hutang negara ditimbulkan semula dengan tujuan menyalahkan Kerajaan PH 1.0 yang didakwa membuat terlalu banyak hutang termasuk Kerajaan MADANI.


Bagaimanapun, fakta menunjukkan hutang negara pada waktu pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim stabil dan berkurangan sedikit demi sedikit.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page