Helikopter AW189 kukuh benteng maritim negara hadapi cabaran keselamatan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 3 min read

Keupayaan Malaysia mengawal perairan negara termasuk di Laut China Selatan diperkukuh dengan penerimaan helikopter Medium Lift AW189 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika persekitaran keselamatan serantau semakin kompleks.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemodenan aset udara menjadi semakin penting memandangkan Malaysia mempunyai Zon Maritim seluas 556,285 kilometer persegi selain terletak di laluan perdagangan utama dunia.
"...hari ini bukan sekadar menyaksikan penambahan sebuah aset udara baharu kepada armada Maritim Malaysia.
"Lebih daripada itu, ia mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan negara dalam mendepani landskap keselamatan yang semakin kompleks dan mencabar.
"Pelaburan ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan kepentingan nasional sentiasa terpelihara," katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang semalam.
Penerimaan aset baharu itu juga dilihat signifikan dalam konteks keselamatan serantau termasuk di Laut China Selatan yang mempunyai kepentingan strategik kepada Malaysia dan berdepan pelbagai risiko keselamatan serta pertindihan kepentingan kuasa serantau dan global.
Meskipun tidak merujuk secara khusus kepada pertikaian Laut China Selatan, Saifuddin menegaskan landskap keselamatan maritim yang dihadapi negara semakin kompleks.
"Dalam menghadapi landskap keselamatan maritim yang semakin kompleks termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah, senjata dan migran, pemerdagangan orang, pencerobohan terhadap sumber perikanan negara dan kegiatan jenayah ekonomi serta ancaman terhadap infrastruktur kritikal maritim, Maritim Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan pengawasan, penguatkuasaan dan tindak balas pantas berasaskan teknologi.
"Keupayaan ini penting bagi memastikan perairan negara kekal selamat, kedaulatan terpelihara dan kepentingan rakyat terus dilindungi," katanya.
Beliau menyatakan perairan negara bukan sekadar sempadan tetapi mempunyai kepentingan strategik kepada perdagangan, industri minyak dan gas, perikanan serta keselamatan ekonomi negara.
"Laut bukan sahaja menjadi sempadan negara, malah merupakan nadi kepada perdagangan, industri minyak dan gas, perikanan, pelancongan serta ekonomi negara.
"Justeru itu, keselamatan dan kedaulatan perairan amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara," katanya.
Menurut Saifuddin, AW189 yang diterima hari ini merupakan helikopter pertama daripada empat unit helikopter Medium Lift jenis berkenaan yang diperoleh untuk Maritim Malaysia.
Helikopter itu mempunyai jarak operasi sehingga 1,166 kilometer, kelajuan maksimum 313 kilometer sejam serta ketahanan penerbangan sehingga lima jam.
Ia boleh beroperasi pada waktu siang dan malam dalam pelbagai keadaan cuaca dengan dikendalikan lima kru serta mampu membawa sehingga 14 penumpang.
Keupayaan itu membolehkan Maritim Malaysia melaksanakan operasi pada jarak lebih jauh dari pesisir, satu keperluan penting bagi sebuah negara yang mempunyai kawasan maritim luas.
"Penerimaan helikopter AW189 bukan sekadar menambah aset udara malah memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pengawasan udara, operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) dan operasi khas.
"Helikopter ini memberikan keupayaan tindak balas yang lebih pantas dan fleksibel, khususnya bagi operasi di perairan yang jauh dari pesisir," jelasnya.
Saifuddin berkata Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai barisan hadapan negara di laut dengan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang maritim, mencegah jenayah, memelihara ketenteraman serta melindungi kepentingan negara di Zon Maritim Malaysia.
Selain penguatkuasaan, agensi itu merupakan peneraju operasi CARILAMAT yang memerlukan kemampuan untuk digerakkan dengan pantas apabila berlaku kecemasan di laut.
"Dalam misi menyelamatkan nyawa, setiap minit amat berharga. Justeru itu, pemilikan aset udara yang moden, pantas dan berkeupayaan tinggi merupakan keperluan strategik bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan," katanya.
Saifuddin turut mendedahkan sehingga 24 Julai lalu, Maritim Malaysia melaksanakan sebanyak 116,192 pemeriksaan dan 26,253 penggeledahan di seluruh perairan negara.
Daripada operasi berkenaan, beliau berkata sebanyak 562 tangkapan dilakukan dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion.
Dalam tempoh sama, Maritim Malaysia mengendalikan 129 kes CARILAMAT melibatkan 638 mangsa.
"Pencapaian ini mencerminkan skala tanggungjawab dan komitmen Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara kekal selamat, kedaulatan terpelihara dan nyawa di laut dapat diselamatkan," katanya.
Perolehan empat AW189 itu diluluskan menerusi Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kontrak selama lima tahun bermula 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029.
Saifuddin berkata kerajaan melihat perbelanjaan dalam sektor keselamatan bukan semata-mata sebagai kos sebaliknya pelaburan strategik bagi mempertahankan kedaulatan dan kestabilan ekonomi negara.
"Kerajaan melihat pelaburan dalam keselamatan sebagai pelaburan strategik bagi mempertahankan kedaulatan, melindungi rakyat serta menyokong kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara.
"Seiring aspirasi Malaysia MADANI, keupayaan agensi penguat kuasa akan terus diperkukuh melalui pemodenan aset, teknologi, kompetensi modal insan dan kerjasama strategik," katanya.
Beliau yakin AW189 akan meningkatkan keupayaan pengawasan udara, penguatkuasaan, CARILAMAT dan operasi khas Maritim Malaysia, khususnya apabila ancaman di kawasan maritim memerlukan tindak balas lebih pantas.
"Dengan aset moden, anggota yang kompeten dan teknologi yang dimanfaatkan sepenuhnya, Maritim Malaysia akan terus menjadi benteng hadapan negara dalam menjaga keselamatan maritim dan kedaulatan Malaysia.
"Sesungguhnya, aset boleh dibeli, teknologi boleh diperoleh tetapi yang menentukan kejayaan sesebuah organisasi ialah profesionalisme, integriti dan semangat juang warganya," katanya.




Comments