top of page

Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Ubai raikan pelajar cemerlang Daerah Pekan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Fakhrul Anuar (dua dari kiri) turut menyampaikan anugerah dalam majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2026
Fakhrul Anuar (dua dari kiri) turut menyampaikan anugerah dalam majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2026

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Pekan, Pahang meraikan kecemerlangan warga sekolahnya dalam Hari Anugerah Kecemerlangan 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Sri Siantan, SMK Ubai baru baru ini.


Majlis dirasmikan oleh Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi. Turut hadir Pengetua SMK Ubai, Azis Jalel, barisan guru, Yang DiPertua PIBG Dr Nurud Suria Suhaimi, Pegawai Khas Timbalan Menteri KPDN Sridayu Samsuri, ibu bapa dan para pelajar.


Majlis bertemakan kecemerlangan menyeluruh ini menjadi platform mengiktiraf pelajar cemerlang dalam bidang akademik, ko-kurikulum, sahsiah dan kepimpinan.


Dalam ucapan perasmian, Fakhrul Anuar yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan menegaskan bahawa kecemerlangan pelajar adalah aset penting untuk masa depan daerah dan negara.


"Anugerah hari ini bukan sekadar sehelai sijil atau trofi. Ia bukti kerja keras pelajar, komitmen guru dan sokongan ibu bapa. SMK Ubai membuktikan sekolah di daerah Pekan mampu melahirkan anak muda yang bersedia bersaing dan menjadi sekolah harian terbaik SPM 2025 Daerah Pekan," katanya.


Beliau turut mengingatkan pelajar agar menjadikan kejayaan hari ini sebagai pemangkin untuk terus belajar, berakhlak mulia dan berbakti kepada komuniti.


Majlis menyaksikan penyampaian anugerah kepada penerima Pelajar Terbaik SPM 2025, Eryna Marissa Lee Abdullah dengan keputusan cemerlang 9A.


Suasana gembira jelas terpancar pada wajah penerima anugerah yang menerima sijil dan plak daripada tetamu kehormat.


Pengetua SMK Ubai, Azis Jalel dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada PIBG, ibu bapa dan komuniti yang terus menyokong program di sekolah berkenaan.


"Tanpa kerjasama semua pihak, kecemerlangan ini tidak mungkin dicapai. Hari Anugerah Kecemerlangan adalah bukti bahawa apabila sekolah, keluarga dan komuniti bersatu, anak-anak kita akan cemerlang," ujarnya.


Fakhrul Anuar juga menyampaikan sumbangan untuk pembangunan STEM sekolah sebanyak RM2,000 kepada pihak PIBG. Majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan ringan bersama tetamu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page