HARAPAN bawa politik khidmat, tadbir urus baik di N Sembilan


Pendekatan politik berasaskan khidmat dan penyelesaian masalah adalah perkara yang dibuktikan kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) kata calon N.07 DUN Jeram Padang, G. Manivannan.
Katanya kepercayaan rakyat terhadap wakil yang dipilih bukan sekadar bergantung kepada janji ketika pilihan raya, sebaliknya kemampuan membawa suara masyarakat kepada kerajaan serta memastikan masalah setempat diberi perhatian.
"Saya ada misi dan visi di sini untuk membangunkan Jeram Padang.
"Saya memilih kawasan Jeram Padang kerana saya betul-betul berniat untuk berbakti. Bukan retorik politik, bukan drama politik," katanya pada program Grand Finale Kekal HARAPAN di Rompin, Bahau, malam tadi.
Manivannan yang juga merupakan seorang peguam berkata, kelebihan hubungan kerja bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan membantu mempercepatkan usaha membawa pembangunan serta menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk.
Katanya, pendekatan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan bahawa tadbir urus yang baik mampu menghasilkan penyelesaian kepada masalah rakyat, termasuk isu kemudahan pendidikan dan kebajikan masyarakat.
"Hubungan saya dengan kerajaan negeri, hubungan saya dengan kerajaan Persekutuan, itulah yang akan membawa penyelesaian kepada masalah-masalah di Jeram Padang," katanya.
Sebagai contoh, beliau menyentuh penyelesaian isu sekolah-sekolahyang sebelum ini terbengkalai tahun, namun berjaya disiapkan selepas campur tangan kerajaan semasa.
"Ada sekolah yang sampai empat belas tahun terbengkalai, tetapi di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam tempoh dua tahun ia telah siap.
"Ini menunjukkan apabila ada tadbir urus yang baik, masalah rakyat boleh diselesaikan," katanya.
Dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tidak terpinggir, Manivannan berkata beliau telah turun bertemu pelbagai komuniti termasuk warga Felda, masyarakat India, Cina serta Orang Asli bagi mendengar sendiri keperluan mereka.
Katanya, isu pemeliharaan tanah adat Orang Asli, sokongan kepada peniaga kecil serta kebajikan komuniti pelbagai kaum akan terus diberi perhatian sekiranya diberi mandat.
"Saya masuk ke kawasan orang Melayu di Felda dan menerangkan tentang inisiatif kerajaan. Saya masuk kawasan Orang Asli dan saya pastikan tanah adat mereka akan dipelihara.
"Saya berjumpa masyarakat Cina dan saya maklumkan perniagaan mereka akan dibantu. Saya juga bertemu masyarakat India mengenai program yang boleh mereka nikmati," katanya.
Justeru b turut menegaskan sokongan rakyat yang diterima sepanjang kempen perlu diterjemahkan melalui undi bagi memastikan agenda pembangunan dan khidmat masyarakat dapat dilaksanakan.
"Kemenangan bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi memilih seseorang yang mampu menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan untuk membawa penyelesaian," katanya lagi.




Comments