Hampir 300 lokasi IPTA terima Wi-Fi berkelajuan tinggi, projek RM664 juta


Sebanyak 294 daripada 539 lokasi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara kini menerima kemudahan Wi-Fi berkelajuan tinggi dengan kos bernilai RM664 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pencapaian Projek Wi-Fi IPTA itu mewakili 55 peratus daripada keseluruhan lokasi yang dikenal pasti di bawah projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya bulan ini.
"Kita telah memulakan projek pemasangan puluhan ribu titik akses (AP) yang dilengkapi teknologi Wi-Fi berprestasi tinggi, khususnya Wi-Fi 6 atau Wi-Fi 7," katanya dipetik laporan media tempatan.
Menurut beliau projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu bertujuan menaik taraf infrastruktur serta memperluas liputan internet di kampus.
Projek berkenaan meliputi 539 lokasi membabitkan IPTA serta institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), katanya.
"Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap di 191 lokasi, manakala pelaksanaan Fasa 3 kini sedang dijalankan di institusi di bawah MARA dan Kesuma.
"Bagi Fasa 3, kerja telah siap di 42 daripada 204 lokasi, iaitu 21 peratus manakala lokasi selebihnya masih dalam proses penyediaan rangkaian dan pemasangan," katanya.
Dalam pada itu , Nie Ching berkata pelaksanaan projek Wi-Fi IPTA telah mencapai 44 peratus dengan 1,399 AP baharu diaktifkan di 10 IPTA setakat Ogos lalu.
"Di bawah Fasa 3, sebanyak 302 AP tambahan dipasang di UTeM dan kerja-kerja itu disiapkan pada 27 Ogos, lebih awal daripada sasaran asal MCMC pada 23 September," katanya.
Dengan penambahan itu, jumlah AP yang beroperasi di UTeM kini meningkat kepada 410, termasuk 108 AP yang dipasang menerusi Fasa 2 pada Jun 2025, sekali gus memperluas capaian internet di lokasi strategik termasuk kawasan kediaman pelajar.
Terdahulu Nie Ching membuat semakan kelajuan internet pada majlis Penyempurnaan Pelaksanaan Projek Universal Service Provision (USP) Wi-Fi IPTA di UTeM, Durian Tunggal, hari ini
Semakan tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek USP Wi-Fi yang memberi tumpuan kepada penyediaan akses internet di institusi pengajian tinggi awam.
Turut hadir Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pejabat Wilayah Selatan, Ts. Rizal Abd Malek.
Menurut MCMC, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan memperkukuh kemudahan kesalinghubungan digital di institusi pendidikan tinggi, sekali gus menyokong keperluan warga kampus dalam mengakses internet bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan aktiviti akademik.
Projek Universal Service Provision Wi-Fi merupakan antara usaha untuk memperluas akses kepada kemudahan internet yang berkualiti, khususnya dalam menyokong ekosistem pendidikan tinggi yang semakin bergantung kepada teknologi dan perkhidmatan digital.




Comments