
Penghinaan Presiden Pas Hj Hadi Awang terhadap bukan Islam yang didakwanya golongan terbesar merosakkan politik dan ekonomi negara serta punca berlaku rasuah belum berakhir, kini Pas mengharapkan pula sokongan bukan Islam untuk kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Ramanan Ramakrishnan, sikap Pas yang berdalih kononnya yang mereka serang adalah bukan Islam dalam DAP merupakan suatu kemunafikan yang nyata.
Katanya, kenyataan pusingan U itu tidak lain tidak bukan kerana Pas menyedari sokongan bukan Islam amat perlu untuk mereka menambah kerusi dalam PRU 15.
"Baru-baru ketika muktamar Pas, Hadi Awang ada menyebut kini parti itu memerlukan sokongan bukan Islam, bukan Melayu dan bukan bumiputera untuk menang di beberapa kerusi dalam PRU-15.
"Nampak tidak, betapa pemimpin dalam parti bertunjangkan Islam ini hanya pentingkan agenda untuk berkuasa sahaja?
"Mula-mula mereka hina bukan Islam kononnya terlibat dalam perlakuan rasuah, dan perbuatan merosakkan ekonomi itu dilakukan oleh golongan bukan Islam. Kemudian kamu sedar pula pilihan raya begitu dekat, perlukan sokongan bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ramanan lagi, baik Hadi mahu pun jurucakapnya Dr Zuhdi Marzuki hanya pandai memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit.
Hakikatnya, kata beliau, bukan pemimpin PH yang dikelilingi golongan perasuah tetapi Paslah yang menyokong parti parti rasuah terus mentadbir negara pada waktu ini.
"Skandal-skandal penyewelengan berbilion ringgit duit rakyat yang bukan sahaja mendapat perhatian rakyat sebaliknya dunia, seperti kes-kes rasuah 1MDB dan LCS bukan dilakukan PH. Tapi PH pula rasa bahangnya? Mengapa begitu? Siapa yang cuba Pas perbodohkan ini?
"Cukup-cukuplah Zuhdi, Hadi Awang. Rakyat hari ini bukan seperti dulu yang kamu boleh guna isu-isu basi atau cerita dongeng untuk cuba tarik sokongan.
"Rakyat tahu dan nampak ‘sampah’ di depan mata mereka," katanya.
Tegas beliau lagi, Pas hari ini sudah lari jauh daripada haluan perjuangan asalnya dan tidak ada beza dengan parti sekular yang mereka tentang ketika era Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat dahulu.
Beliau menyeru agar ahli Pas sedar kembali akan perjuangan yang dibawa Tok Guru Nik Aziz selama hayatnya.
"Keperibadian Allahyarham sehingga ke saat ini masih melekat di sanubari rakyat Kelantan. Allahyarham bukan hanya seorang tokoh politik yang telah mentadbir sebuah negeri yang sinonim dengan jolokan Serambi Mekah, sebaliknya, jauh lebih utama, Nik Aziz di mata rakyat adalah seorang bapa yang tidak pernah jemu mengajar anak anaknya makna kemanusiaan.
"Malah Allayarham Nik Aziz sepanjang hayatnya mendalami Islam (sebenar). Membuatkan rasa hormat segenap lapisan masyarakat padanya tidak pernah pudar selepas pemergian beliau. Realitinya Allahyarham Nik Aziz adalah seorang pemimpin yang sentiasa memberikan teladan dan contoh yang baik kepada rakyat," katanya lagi.
Justeru, Ramanan mengesa Pas berhenti mengapi-apikan rakyat dengan sentimen perkauman kemudian menuding jari kepada PH.
Rasuah, katanya, dilakukan oleh semua tanpa batasan bangsa, agama, kepercayaan mahupun parti serta idealogi politik, sesiapa sahaja boleh melakukan kerosakkan ekonomi dan rasuah.