top of page

Had BUDI95 diselaras kepada 200 liter mulai 1 April, berhemat hadapi krisis global

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar menekankan pentingnya penghematan biaya menghadapi krisis yang tidak pasti penghujungnya
DS Anwar menekankan pentingnya penghematan biaya menghadapi krisis yang tidak pasti penghujungnya

Kerajaan mengumumkan beberapa langkah penyesuaian bagi memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi serta mengelakkan ketirisan, termasuk pengurangan kuota petrol program BUDI95 susulan krisis di Asia Barat yang dijangka akan mengambil masa berbulan bulan untuk tamat.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil susulan tekanan global yang memberi kesan kepada bekalan makanan, baja serta harga minyak dan gas.


"Apakah kita boleh biarkan keadaan tanpa apa-apa tindakan dan memikirkan kita ini terlepas daripada semua permasalahan?


"Bekalan makanan terjejas, harga tentunya akan meningkat. Baja juga begitu, tentunya minyak dan gas. Jadi, ada langkah-langkah yang perlu kita ambil.


"Ada negara-negara yang jauh lebih parah kesannya dari kita, tetapi ini tidak bermakna kita terlepas semuanya sekali," katanya dalam ucapan yang dipancarkan melalui media arus perdana petang tadi.


Menurut PM, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh bagi menjamin bekalan berterusan di samping menggalakkan penggunaan secara berhemat.


Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil dibuat secara teliti bagi mengelakkan rakyat terbeban.


"Percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah," katanya.


Mengulas mengenai subsidi petrol, Anwar berkata Malaysia masih mengekalkan harga RON95 di bawah program BUDI95 pada kadar terendah.


"Semua negara, lebih-lebihnya negara jiran, menaikkan harga minyak, tetapi Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga minyak BUDI95 pada kadar RM1.99," ujarnya.


Namun kata beliau, kerajaan akan menyelaraskan had penggunaan bulanan (kuota) daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April 2026.


"Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan, dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas," katanya.


Bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig, had siling kekal sehingga 800 liter sebulan bagi mengambil kira keperluan pekerjaan mereka.


Selain itu, subsidi diesel di Sabah dan Sarawak juga dikekalkan pada kadar RM2.15 seliter, mengambil kira faktor geografi dan logistik di kedua-dua negeri.


Dalam usaha mengawal bekalan, kerajaan turut menetapkan had pengisian bahan api bagi setiap pembelian mengikut kategori kenderaan, antaranya maksimum 50 liter bagi kenderaan ringan dan sehingga 150 liter bagi kenderaan berat.


Pada masa sama, kerajaan akan memperketat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang menyebabkan kerugian besar kepada negara.


"Kita tidak boleh beri subsidi dan kemudian kita lihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. Dan oleh itu, amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera Kerajaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page