Gantung ADUN: Apa respons Pemuda Gerakan, MCA desakan Pemuda Pas?
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menggesa respon Pemuda Gerakan dan MCA berhubung desakan Pemuda Pas Selangor supaya tindakan dikenakan terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan dari DAP.
"AMK Selangor meneliti desakan Ketua Pemuda Pas Selangor, Shukri Omar mengecam keras cadangan ADN Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung isu penternakan ladang babi moden di negeri itu, dengan menyifatkannya sebagai tindakan biadab dan tidak menghormati institusi raja berperlembagaan.
"Beliau juga mendesak agar tindakan tatatertib tegas diambil ke atas Wong termasuk menggantungnya daripada sidang dewan negeri selama 12 bulan.
"AMK Selangor amat berminat untuk mengetahui adakah Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA mempunyai pendirian yang sama dengan Pemuda Pas?" soal Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohammad Haziq Husni (gambar) dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Wong ketika membahaskan titah Sultan Selangor menyembah maklum bahawa isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut melahirkan rasa dukacita kerana isu tersebut didakwanya telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas ahli politik.
"Dewan Negeri Selangor merupakan badan perundangan tertinggi di peringkat negeri yang berperanan penting dalam sistem demokrasi berparlimen, selain menjadi platform bagi wakil rakyat menyuarakan mandat serta isu yang dihadapi penduduk.
"Setiap ADN bertanggungjawab membawa isu rakyat di kawasan masing-masing, termasuk melibatkan aspek infrastruktur, kebajikan, pendidikan dan ekonomi.
"Justeru Pemuda Gerakan dan Pemuda MCA mesti nyatakan pendirian sama ada menyokong desakan Pemuda Pas atau mempertahankan peranan wakil rakyat serta fungsi Dewan Negeri," tambahnya.




Comments