top of page

Exco Pahang menang saman, mahkamah kekal perintah "Datuk Tony" bayar RM1.2 juta

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 28
  • 2 min read
Bryan Ng (tengah) mewakili Chon Siang (kanan) dalam sidang media semalam di Kuala Lumpur
Bryan Ng (tengah) mewakili Chon Siang (kanan) dalam sidang media semalam di Kuala Lumpur

Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang menggesa seorang pempengaruh dikenali sebagai "Datuk Tony" agar bertanggungjawab melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan kes saman fitnah terhadapnya.


Ia susulan keputusan mahkamah pada 9 April lalu yang menolak permohonan defendan untuk mengetepikan keputusan penghakiman pada 5 November tahun lepas berkaitan saman fitnah tersebut.


Dalam kes dengar di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib, mahkamah mengekalkan keputusan memerintahkan agar Yu Chee Hong membayar ganti rugi am sebanyak RM800,000 dan ganti rugi teruk RM400,000 dengan kadar faedah 5 peratus setahun sehingga tarikh penyelesaian sepenuhnya.


"Kos sebanyak RM10,000 tertakluk kepada fi alokatur bagi tindakan ini dibayar oleh defendan kepada plaintif," demikian keputusan Mahkamah Tinggi dalam salinan penghakiman yang diedar kepada Suara Keadilan.


Peguam plaintif Bryan Ng Yih Miin berkata, setakat ini pihak defendan tidak mengemukakan sebarang rayuan dan meminta beliau bertanggungjawab melaksanakan perintah mahkamah tersebut.


Katanya, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM3,000 setelah notis permohonannya pada 7 Januari lalu untuk mengetepikan penghakiman tersebut ditolak.


Dalam pada itu, Chon Siang yang juga Exco kerajaan negeri Pahang dalam sidang media semalam berkata, beliau mengambil keputusan menfailkan saman fitnah terhadap individu terbabit bagi membersihkan namanya.

Sim Chon Siang
Sim Chon Siang

Dalam saman fitnah yang difailkan pada 5 November 2024, wakil rakyat tiga penggal itu menuntut ganti rugi RM50 juta selain defendan menerbitkan artikel memohon maaf di semua saluran media utama secara fizikal dan dalam talian.


"Saya tidak buat apa-apa kepada dia (defendan), tiba-tiba ada orang hantar dokumen [disiarkan] di media sosial...macam-macam fitnah kepada saya.


"Saya secara sukarela telah menyelamatkan 109 rakyat Malaysia dan nyaris ditembak di tepi Sungai Mekong, kita gadaikan nyawa untuk selamatkan anak Malaysia," katanya.


"[fitnah] ini tidak adil, sebab itu saya setuju ambil tindakan undang-undang terhadap lelaki tersebut. Media sosial bukan boleh senang-senang disalah guna untuk memfitnah."


Chon Siang dalam saman fitnah yang difailkannya menyebut beliau bersama pasukannya, antara lain disertai Muhammad Saifuddin Lai Abdullah, seorang ahli perniagaan Malaysia yang menetap di Thailand, telah pergi ke negara itu pada Februari 2023 dalam misi untuk menyelamatkan rakyat Malaysia.


Mangsa warga Malaysia itu didakwa terlibat dalam penipuan pekerjaan dan diseludup ke KK Garden di Myawaddy, Myanmar atau ke negara lain melalui Measot, Thailand.


Dalam misi tersebut, plaintif bersama pasukannya berjaya menyelamatkan lima rakyat Malaysia iaitu empat lelaki muda dan seorang wanita muda.


Kejayaan misi tersebut mendapat liputan meluas media tempatan.


Plaintif dalam kenyataannya menyatakan beliau telah melibatkan diri dalam misi menyelamat ini sejak 2023 dengan berulang-alik dari Malaysia–Thailand menggunakan perbelanjaan sendiri.


Plaintif telah menjalankan operasi menyelamatkan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dengan menggadaikan keselamatan dirinya terutamanya ia melibatkan kumpulan penjenayah terancang, sangat berkuasa serta berpengaruh besar di sekitar kawasan Thailand dan Kemboja.


Bagaimanapun, defendan didakwa memuat naik pernyataan fitnah di akaun Facebook yang bernama ‘Lei Ting Pao’ [Meriam Guntur] antara lainnya mendakwa plaintif telah menipu orang awam serta meminta wang daripada keluarga mangsa serta bergembira di Thailand.


Defendan yang beralamat di Seri Kembangan, Selangor merupakan pengerusi sebuah syarikat bangunan dan pembinaan awam selain menjadi pempengaruh media sosial.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page