top of page

Enam Exco N Sembilan pangku portfolio ditinggalkan UMNO

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 4 days ago
  • 2 min read
DS Aminuddin memberi kenyataan kepada pemberita selepas mesyuarat Exco. Foto kredit: Negeri Kita
DS Aminuddin memberi kenyataan kepada pemberita selepas mesyuarat Exco. Foto kredit: Negeri Kita

Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak melantik barisan Exco baharu bagi mengisi empat kekosongan portfolio yang sebelum ini disandang wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN), susulan kemelut politik yang melanda pentadbiran negeri ketika ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas dipersetujui dalam mesyuarat pentadbiran Kerajaan Negeri, dengan tugas serta tanggungjawab portfolio berkenaan akan dipangku enam Exco sedia ada.


Menurut beliau, langkah tersebut bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri terus berjalan lancar tanpa menjejaskan urusan rakyat.


"Tiada pelantikan Exco baharu buat masa ini. Kita telah bersetuju supaya tugasan itu dipangku oleh Exco sedia ada dan ia tidak akan diisi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.


Empat portfolio yang dikosongkan itu membabitkan Jawatankuasa Kemajuan Desa dan Perladangan dan Komoditi serta Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup yang sebelum ini disandang Datuk Seri Jalaluddin Alias.


Turut terlibat portfolio Pendidikan dan Modal Insan yang sebelum ini dipegang Ismail Lasim selain portfolio Pembangunan Belia dan Sukan disandang Mustapha Nagoor serta portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital yang diterajui Mohd Faizal Ramli.


Aminuddin memberi jaminan bahawa perubahan susunan tugas itu tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri mahupun pelaksanaan dasar serta program pembangunan yang sedang berjalan.


Beliau turut menegaskan keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran terus dipelihara di tengah-tengah ketidaktentuan politik yang berlaku.


Pada 27 April lalu, seramai 14 wakil rakyat UMNO dan BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin sekali gus menarik sokongan kepada kerajaan negeri.


Tindakan itu dipercayai berpunca daripada ketegangan membabitkan isu adat dan perlembagaan negeri yang mencetuskan krisis politik dalaman antara kepimpinan Kerajaan Negeri dan blok UMNO-BN.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page