Dunia Islam kukuhkan perpaduan, pengorbanan pemimpin Iran satu iktibar - MAPIM
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru dunia Islam memperkukuhkan perpaduan, kepimpinan berprinsip dan kerjasama strategik susulan upacara pengkebumian mantan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang disifatkan sebagai detik penting untuk umat Islam bermuhasabah.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, upacara tersebut bukan sekadar majlis penghormatan kepada seorang pemimpin negara, malah membawa mesej lebih besar mengenai kepimpinan, pengorbanan dan keteguhan mempertahankan prinsip.
Beliau berkata, kehadiran jutaan rakyat pada upacara berkenaan menunjukkan iltizam mempertahankan keadilan, kedaulatan negara serta menolak penindasan.
Mohd Azmi menggesa umat Islam mengenepikan perbezaan politik, mazhab dan kepentingan geopolitik demi memperkukuhkan perpaduan dalam menghadapi cabaran bersama.
Beliau berkata, konsep penentangan perlu difahami sebagai hak mempertahankan kedaulatan negara, menegakkan keadilan dan melindungi golongan tertindas selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
Tegasnya, pengorbanan para pemimpin dan rakyat juga perlu dijadikan inspirasi untuk memperkukuh pendidikan, membangunkan institusi, memperluaskan usaha kemanusiaan serta mengukuhkan kesatuan umat Islam.
"Perhimpunan bersejarah ini bukan sekadar majlis mengucapkan selamat tinggal kepada seorang pemimpin negara. Ia merupakan manifestasi yang amat bermakna tentang kekuatan iman, pengorbanan, keteguhan pendirian dan kepimpinan yang berprinsip
"Mesej sebenar daripada upacara pengkebumian ini kepada dunia Islam amat jelas. Kepimpinan yang diasaskan atas iman, integriti dan pengorbanan akan meninggalkan legasi yang tidak mampu dipadamkan melalui pembunuhan atau pembunuhan politik," katanya.
Menurut Azmi lagi, Islam mesti kembali menghayati nilai perpaduan dalam menghadapi cabaran bersama.
Katanya, perbezaan politik, persaingan mazhab dan kepentingan geopolitik tidak seharusnya melemahkan tanggungjawab kolektif umat Islam untuk mempertahankan maruah serta membela masyarakat yang tertindas.
"Pada saat dunia Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, umat Islam perlu bergerak ke arah solidariti yang lebih utuh, kerjasama strategik yang lebih berkesan serta kepimpinan bermoral yang berteraskan keadilan, rahmah dan saling menghormati," ujarnya.
Beliau berkata, MAPIM percaya masa depan dunia Islam bergantung kepada keupayaan melahirkan kepimpinan yang berwawasan, memperkukuh perpaduan antara negara Islam, melabur dalam pembangunan ilmu serta menegakkan keadilan tanpa pilih kasih.
Upacara penghormatan negara ke atas Ayatollah Ali Khamenei disempurnakan semalam, beberapa bulan setelah terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas kediaman rasminya di Tehran pada 28 Februari lalu.
Ali Khamenei akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad pada Khamis depan.
