
Masalah capaian internet di Sarawak menjadi topik kritikan ke atas Kerajaan Negeri apabila berlaku pandemik Covid 19 sejak 2 tahun lalu.
Kesukaran pembelajaran murid murid secara atas talian dirasai oleh majoriti penduduknya apabila kebanyakan kawasan luar bandar tidak langsung mempunyai capaian internet.
Oleh itu, isu internet menjadi bahan kempen panas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, yang mana setelah 50 tahun memerintah Gabungan Parti Sarawak masih gagal menyediakan kemudahan berkenaan secara meluas.
Bagi calon KEADILAN DUN Marudi, Elias Lipi Anak Mat, 49, di kawasannya capaian internet hanya boleh diperolehi di kawasan pekan dan tiada capaian gelombang itu di kawasan yang jauh dari bandar Miri.
"Kalau kita perhatikan sejak pandemik Covid 2 tahun lepas, internet jadi satu masalah rakyat luar bandar.
"Liputan tak dapat, line telefon susah. Mungkin 90% kawasan Marudi ini tak dapat liputan internet. Yang ada (capaian) di pinggir bandar berdekatan Miri, seperti pekan Marudi, Beluru, Lampung.
"Di luar, kawasan rumah panjang, huju sungai, sukar dapat kemudahan internet. Sukar untuk dapat 4G. Saya ingat (gelombang) 0.5G pun sukar.
"Makanya internet masalah besar ketika sekolah ditutup, pembelajaran melalui online, guna internet. Ramai anak anak bersekolah duduk di rumah panjang tak dapat mengikuti pembelajaran online, tak dapat sumber pembelajaran dari cikgu," katanya dalam program sembang Randau Pagi secara Facebook live, pagi tadi.
Selain isu internet yang buruk, Elias juga menyentuh perkhidmatan bas henti henti yang tidak lagi disediakan ke kawasan Marudi sebagaimana dua dekad lalu.
"Sekarang perkhidmatan bas dari bandar ke pekan Beluru menang tidak ada. Kalau dulu 1980an ada. Sekarang sudah 20 tahun tiada bas ke Bakong dari Miri," katanya.
Menurut Elias, DUN Marudi ada bebagai etnik seperti Kenyah, Penan, Melayu dan Cina. Namun etnik Iban merangkumi 70% dan yang lain seperti Melayu, Orang Ulu dan Cina sebanyak 30%.
Oleh itu, Elias merayu kepada para pengundi agar melakukan perubahan dalam PRN kali ini untuk melantik Kerajaan Negeri yang lebih bertanggungjawab.
"Saya minta penduduk di N76 Marudi keluar mengundi pada 18 Disember. Kita perlu berubah. Undilah calon KEADILAN.
"Kita tukar kerajaan yang kita fikir tak membawa maltlamat yang baik kepada kawasan kita.
"Kita mesti berani berubah, jangan simpan kerajaan terdahulu, berubah dengan kerajaan baru. Pada 18 Disember nanti berilah peluang kepada calon KEADILAN memenangi PRN Sarawak," katanya lagi