top of page

“Dulu IC tak ada duit, sekarang IC ada duit”

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Jul 10
2 min read

Tidak pernah dalam sejarah negara kad pengenalan menyediakan wang RM100 kepada warganegara berusia atas 18 tahun kecuali pada era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Sabah, Datuk Jamawi Jaafar (gambar) berkata rakyat kini menikmati manfaat secara daripada dasar Kerajaan MADANI melalui bantuan SARA yang dikreditkan dalam MyKad.


Menurut beliau, perubahan itu menyebabkan ramai rakyat di Sabah, khususnya golongan warga emas, menyampaikan penghargaan kepada PM kerana buat pertama kalinya semua rakyat merasai bantuan tunai.


"Bila saya berjumpa orang-orang tua di Melalap, mereka minta saya sampaikan salam kepada Perdana Menteri.


"Saya tanya kenapa? Mereka kata tidak pernah Perdana Menteri sebelum ini yang masukkan duit dalam IC kami," katanya ketika berucap pada ceramah "Yok Merahkan Johor, Undi Harapan" di Puteri Wangsa, malam tadi.


Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, penggunaan MyKad membolehkan rakyat membeli barangan keperluan harian bernilai RM100 sebulan di premis yang mengambil bahagian. Begitu juga bantuan kepada B40 melalui Mykad yang boleh ditebus di kedai atau pasar raya terpilih.


Menurutnya, selain bantuan barangan asas, rakyat turut menikmati pelbagai bentuk bantuan lain termasuk subsidi bahan api yang juga memerlukan pengesahan MyKad dan memberi manfaat kepada mengurangkan kos sara hidup.


"Dengan menggunakan IC, kita boleh mengambil barangan keperluan harian di kedai-kedai bernilai RM100, RM200 sebulan.


"Dengan menggunakan IC juga, kita mendapat harga minyak yang lebih murah," katanya.


Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan kebijaksanaan kepimpinan Kerajaan MADANI yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat melalui mekanisme bantuan yang lebih mudah, cepat dan bersasar.


"Inilah kebijaksanaan pimpinan kita yang ingin melihat rakyat lebih selesa dan kebajikan mereka terus terjamin," katanya.


Jamawi turut mengajak pengundi di Johor meneruskan sokongan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat tersebut dapat diteruskan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page