Dua Ketua Kampung baharu di DUN Bukit Melawati


DUN Bukit Melawati, Selangor mendapat dua Ketua Kampung baharu yang diusahakan oleh wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli.
Menurut Juwairiya, pengisytiharan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tradisi Kampung Teluk Piai dan Tanjung Keramat pada Januari lalu itu dilakukan selepas Kerajaan Negeri berpuas hati bahawa pentadbiran MPKK sedia ada tidak mencukupi untuk mengawasi kawasan kampung yang bertambah luas.

"Saya angkat isu ini ke perhatian Kerajaan Negeri kerana kampung berkenaan sewajarnya mempunyai ketua kampung, peruntukan dan pengurusan tersendiri.
"Alhamdulillah saya berterima kasih kepada Datuk Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah yang menyokong dan meluluskan penubuhan dua MPKK ini,” katanya dipetik.
Tambah Juwairiya, kedudukan geografi kampung turut melayakkan dua kampung terbabit diiktiraf sebagai MPKK baharu.
"Dua kampung ini terletak di seberang Sungai Selangor dan berpisah dengan Kampung Permatang, jadi tidak masuk akal dan tidak sesuai bagi pentadbiran MPKK lama memberi perhatian kepada penduduk di kawasan berkenaan.
"Dengan kewujudan MPKK baharu ini, mereka akan memiliki pengurusan dan peruntukan masing-masing selain tidak perlu berkongsi kemudahan awam yang berada jauh antara satu sama lain," katanya lagi.




Comments