top of page

Dr Mujahid gembira RCI jawab tuduhan jual aset TH kepada Cina

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 18 hours ago
  • 3 min read
DS Dr Mujahid (tengah) dalam sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, pagi tadi
DS Dr Mujahid (tengah) dalam sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, pagi tadi

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata beliau gembira apabila laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) akhirnya menjawab kebanyakan tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin Pas dan Umno pada 2019 terhadap pelan pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu termasuk dakwaan Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 menjual aset kepada orang Cina.


Beliau berkata tuduhan berhubung aset TH kononnya dijual kepada orang Cina telah berlarutan bertahun-tahun sehingga menjadi isu politik walaupun perkara itu pernah dijelaskan di Parlimen.


"Lapan tahun orang bercakap, lapan tahun kemudian keluar RCI dan kemudian menteri menjawab, tidak ada aset yang dijual kepada orang Cina. Dalam Parlimen pun telah dijawab," katanya ketika menyertai sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi hari ini.


Mujahid berkata apabila RCI diumumkan, beliau mahu melihat sendiri dapatan suruhanjaya itu bagi menentukan sama ada pelan pemulihan TH yang dilaksanakan ketika beliau menjadi menteri benar atau sebaliknya.


"Saya nak tengok apa keputusannya. Betul tak aku salah? Betul tak proses pemulihan ini satu scam? Betul tak UJSB ini bagi buang duit rakyat, buang duit negara?


"Pada saat benda itu diumumkan, saya orang pertama yang paling gembira kerana kebanyakan daripada tuduhan-tuduhan itu telah dijawab oleh laporan RCI," katanya sambil mengakui sebelum itu beliau memang tidak bersetuju dengan penubuhan RCI memandangkan TH dalam proses pemulihan.


Menurut Mujahid, penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bukan satu keputusan yang berdiri sendiri sebaliknya merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Lembaga Tabung Haji (TH).


Beliau berkata pelan berkenaan dirangka dengan matlamat jangka pendek untuk memastikan aset TH kembali melebihi liabiliti serta membolehkan institusi itu kembali mematuhi kehendak Seksyen 22(3)(a) Akta Tabung Haji.


"UJSB adalah produk daripada satu struktur yang lebih besar, satu yang lebih utama iaitu Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula.


"Pelan pemulihan dan penstrukturan semula dibuat atas satu matlamat, yang kita kata jangka pendek. Kita hanya ada lebih kurang tiga bulan untuk menutup supaya aset lebih tinggi daripada liabiliti dan nak kembali patuh kepada Seksyen 22(3)(a)," katanya.


Mujahid yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata idea memindahkan aset bermasalah daripada TH kepada sebuah entiti khas turut mengambil inspirasi daripada pendekatan pemulihan sektor perbankan ketika krisis kewangan Asia 1997/1998.


Katanya aset tidak berprestasi milik TH ketika itu yang dianggarkan bernilai sekitar RM10 bilion dipindahkan dan distrukturkan melalui penerbitan sukuk.


"Di sinilah bila nak keluarkan sukuk, siapa yang nak keluarkan? Maka lahirlah daripada pelan yang besar itu, perlu kepada SPV (syarikat tujuan khas)," katanya.


Menurutnya, UJSB kemudiannya menjadi mekanisme untuk melaksanakan sebahagian daripada pelan pemulihan berkenaan termasuk membantu TH memperbaiki kedudukan aset dan liabilitinya.


Beliau berkata langkah tersebut akhirnya membolehkan sasaran jangka pendek pelan pemulihan dicapai dalam tempoh sekitar tiga bulan.


Dalam pada itu, Mujahid berkata penerbitan sukuk yang menjadi sebahagian daripada mekanisme tersebut juga sering disalah tafsir seolah-olah TH memperoleh wang secara tiba-tiba, sedangkan sukuk itu sendiri merupakan aset.


Beliau turut menjelaskan kadar pulangan sukuk berkenaan yang pada awalnya sekitar 1.25 peratus kemudiannya meningkat sehingga kadar yang dinikmati TH pada masa ini.


Dalam pada itu, Mujahid mengakui beliau sudah bersedia untuk menjadi tidak popular ketika keputusan pemulihan TH dibuat.


Mujahid menegaskan peranannya ketika itu adalah pada peringkat dasar manakala urusan profesional dan pengurusan dilaksanakan oleh pihak pengurusan TH.


"Saya bukan orang perakaunan. Saya lulusan PhD di bahagian Siasah Syariah sahaja. Tetapi saya membiarkan orang profesional melakukannya tanpa ada apa-apa campur tangan.


"Saya cuma memimpin dasar dan menjadi orang tengah antara Tabung Haji dengan Kabinet. Saya yang membentang dan Alhamdulillah diluluskan," katanya.


Katanya, beliau ketika itu memberi ruang kepada kepimpinan dan pengurusan profesional TH menjalankan tugas masing-masing tanpa campur tangan politik dalam urusan operasi.


"Saya kata kepada pengerusi waktu itu, Tan Sri, you do your job as a professional. Soal orang nak serang Tabung Haji secara politik, let me handle it.


"Saya bersedia untuk menjadi orang yang tidak popular," katanya.


Mujahid berkata, pengalaman TH juga sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terus mengulangi tuduhan yang telah dijawab melalui proses rasmi.


Menurutnya, cabaran lebih besar selepas RCI bukan lagi sekadar mempertahankan mana-mana pihak, tetapi memastikan masyarakat belajar untuk menilai maklumat secara bertanggungjawab.


"Cabaran besar saya sebagai orang politik ialah bagaimana saya mendidik masyarakat supaya mereka berpegang kepada maklumat yang betul.


"Bertindak atas maklumat yang betul, bukan bertindak atas kepuasan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page