top of page

Dokumen pengenalan baharu berteknologi tinggi dilancar Jun 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 2 min read
DS Saifuddin dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini
DS Saifuddin dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini

Kerajaan dijadual akan melancarkan dokumen pengenalan diri baharu termasuk kad pengenalan dan pasport dengan ciri keselamatan dipertingkatkan pada Jun 2026, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail .


Beliau berkata, bulan Jun ini akan menjadi detik penting dalam usaha reformasi sistem penyampaian kerajaan, khususnya melibatkan pengeluaran dokumen rasmi negara.


"Saya percaya kita menunggu Jun ini sebagai tarikh penting, kerana Jun 2026 adalah tarikh di mana kita akan meluncurkan dokumen penting kita, sama ada IC ataupun pasport dengan menggunakan semua ciri keselamatan yang baharu," katanya dalam ucapan di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.


Menurut beliau, agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia telah membuat persediaan rapi bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.


"Saya percaya JPN dan juga Imigresen sudah pun bersedia dengan pelan A dan pelan B, dan saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah ini dengan baik pada bulan Jun 2026," ujarnya.


Selain itu, beliau memaklumkan bahawa sistem baharu berkaitan permohonan kewarganegaraan juga akan diperkenalkan selari dengan pindaan yang telah diluluskan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebelum ini.


Saifuddin menegaskan bahawa pelbagai prasyarat telah disediakan bagi memastikan sistem tersebut dapat berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan.


"Kita sudah pun bergerak jauh dengan menyediakan semua prasyarat terhadap sistem itu sebelum kita lancarkan," jelasnya.


Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap keupayaan pasukan di bawah kementeriannya dalam menjayakan reformasi tersebut.


"Saya berbangga kerana mempunyai satu pasukan yang sangat berdisiplin, kemas dari segi perancangannya dan kita sudah di penghujung. Menyaksikan setiap usaha reformasi dan perubahan yang kita buat itu sudah menuju ke penghujung untuk dapat dirasai oleh rakyat terbanyak," katanya.


Menurut beliau, penambahbaikan ini akan membantu meningkatkan sistem penyampaian kerajaan serta menyelesaikan pelbagai aduan rakyat yang berlarutan sebelum ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page