'Dasar ekonomi PM Anwar berjaya baiki ekonomi merudum era PN'
- Akmal Manaf
- 5 hours ago
- 1 min read

Menjelang pilihanraya di Negeri Sembilan rakyat diperingatkan mengenai ketidakupayaan Perikatan Nasional (PN) dalam menggerakkan ekonomi sewaktu mereka diberi mandat memerintah pada 2020 hingga 2022 lalu.
Bagi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar), sepanjang PN - yang didominasi BN, Pas dan Bersatu - mentadbir negara, tiada pelan strategik yang jelas dikemukakan bagi menjadikan ekonomi Malaysia lebih baik, sebaliknya berlaku krisis kekurangan bekalan makanan pada penghujung pentadbiran PN sebelum Pakatan Harapan masuk sebagai peneraju Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum November 2022.
"Apabila harga barang naik (waktu PN memerintah), alasannya kenaikan itu adalah kitaran alam secara semula jadi (iaitu) turun naik harga barang.
"Tetapi usaha untuk membantu rakyat tidak begitu jelas, selain memberikan bantuan tunai. Mekanisme yang lebih menyeluruh dan holistik juga tidak kelihatan jika dibandingkan dengan apa yang dilaksanakan PM Anwar," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Ustaz Mohd Zawawi turut memuji pendekatan ekonomi berimbang yang dilaksanakan ketika ini oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Pendekatan sedemikian ujarnya, memperlihatkan golongan miskin benar-benar mendapat bantuan, manakala golongan berada diberi peluang untuk turut sama menyumbang kepada masyarakat.
"Ia seperti apa yang dilakukan Syarikat Al-Bukhary yang menyalurkan dana bagi membantu pesawah yang memerlukan bantuan," katanya lagi.
Untuk rekod, peranan Syarikat Al-Bukhary memberi bantuan kepada pesawah padi yang 90 peratus orang Melayu hanya berlaku pada era pentadbiran Datuk Seri Anwar, dalam kerangka berkongsi kemakmuran hasil padi negara.
