Dasar diplomatik diamal kerajaan bantu tangani ketidaktentuan ketika konflik
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Dasar kerajaan yang mengamalkan hubungan diplomatik yang baik membantu negara menangani isu ketidaktentuan ekonomi global secara strategik, lebih-lebih lagi ketika konflik geopolitik ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil contoh krisis tenaga global termasuk isu bekalan minyak dunia berkata, hasil perbincangan dengan Presiden Iran, Malaysia berjaya mendapatkan kebenaran laluan untuk tujuh kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz meneruskan perjalanan pulang.
"Kita menghubungi dan bercakap dengan pemimpin UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan AS (bincang isu semasa), tapi kita masih mampu berbincang panjang dengan Iran dan memohon kerjasama Presiden Iran melepaskan tujuh kapal kita dan beliau setuju pada masa itu juga. Ini tidak mudah.
"Saya maklumkan kepada Presiden Iran, kapal kita masih tersangkut di Selat Hormuz dan ini sangat penting untuk kehidupan rakyat kita dan keperluan minyak dalam negara.
"Sebaik selepas telefon itu, beliau mengarahkan supaya diberi laluan kepada kapal-kapal Malaysia dan Alhamdulillah ini bermakna hubungan (diplomasi) itu harus baik," katanya dipetik ketika berucap semasa Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di Kota Tinggi pada Ahad.
Iran mengenakan sekatan pergerakan kapal di Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel lebih sebulan lalu.
Selat terbabit merupakan laluan penting yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Terdahulu semasa berucap di Konvensyen KEADILAN Negeri Johor, Anwar menzahirkan harapan agar usaha kerajaan memperkukuh hubungan diplomatik serta menyuarakan pendirian tegas dalam isu membabitkan Iran dan konflik di Gaza diberi kredit, bukannya dipertikai oleh pihak tertentu.
Beliau melahirkan rasa kecewa apabila pembangkang seolah-olah tidak menghargai usaha dimainkannya selama ini untuk melindungi kepentingan negara.




Comments