Dasar Air Negara dilancarkan, langkah holistik kukuh tadbir urus
- Suara Keadilan

- Apr 26
- 1 min read

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan Dasar Air Negara sebagai langkah holistik memperkukuh tadbir urus air di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, dasar itu disokong Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) yang menekankan kerjasama pelbagai pihak termasuk utiliti, industri dan akademik.
Antara matlamat utama terkandung dalam dasar tersebut adalah mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) kepada 28 peratus berbanding purata semasa sekitar 33.4 peratus.
"Maknanya tindakan lebih menyeluruh melibatkan perancangan di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk bagaimana kita mengurus sumber air, bekalan serta cabaran seperti air tidak berhasil (NRW) dan kemarau," katanya dipetik.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan di Tanjung Bidara, Melaka, semalam.
Sementara itu, Fadilah turut memaklumkan, sebanyak 21 projek berkaitan air bernilai RM3.1 bilion diluluskan untuk Melaka menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13.
Projek tersebut melibatkan pelbagai pembangunan infrastruktur termasuk usaha mengurangkan risiko banjir kilat.




Comments