Dakwaan peras ugut di Wangsa Maju: Fitnah tidak berasas
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Dakwaan yang mengaitkan dua individu daripada KEADILAN kononnya terlibat dalam kegiatan peras ugut di Wangsa Maju, disangkal sebagai fitnah tidak berasas.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 6, G Paartiydasan menjelaskan, kehadiran mereka ke premis rumah urut tersebut bertujuan melakukan pemantauan memandangkan kawasan berkenaan terdapat hampir berpuluh premis yang tumbuh bagai cendawan.
"Hal ini menjadi tanggungjawab saya sebagai Pengerusi MPP Sub Zon 6 di kawasan ini untuk memantau, menyiasat dan seterusnya melaporkan jika terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
"Lawatan tersebut hanyalah rutin pemantauan tidak lebih dari itu. Kami menafikan dakwaan oleh pemilik laman Facebook tersebut yang cuba mengaitkan kami dengan tuduhan berkenaan dan kami juga telah membuat laporan polis di IPD Wangsa Maju berkaitan hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama dengan seorang lagi rakannya di dalam video berkenaan iaitu R Vijeyndran.
Dalam kenyataan sama, Paartiydasan turut menzahirkan rasa hairan bagaimana pihak yang menyebarkan video tersebut mempunyai akses terhadap premis rumah urut dan juga memiliki video daripada kamera litar tertutup (CCTV) serta tujuan mereka menyebarkan video terbabit di media sosial.
"Oleh yang demikian, kami turut mengalu-alukan pihak pejabat Menteri Wilayah dan DBKL untuk menyiasat sama ada premis-premis rumah urut di sini mempunyai lesen atau tidak, serta bebas daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
"Kami juga sedang mempertimbangkan sebarang tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebarkan video dan fitnah terhadap kami, kerana kami percaya terdapat cubaan dan dakwaan tidak adil serta tidak berasas yang berniat jahat terhadap kami" ujarnya lagi.




Comments