top of page

Dakwaan AMK Cabang Pandan terbubar tidak tepat - Khairul Naim

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 days ago
  • 2 min read

Tindakan segelintir pihak mengisytiharkan sesuatu cabang sebagai “terbubar” tanpa asas tafsiran peraturan yang jelas adalah tindakan tidak bertanggungjawab.


Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Khairul Naim Rafidi (gambar) dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut hanya berpotensi mengelirukan anggota akar umbi serta membina persepsi yang tidak tepat terhadap organisasi parti.


"Saya mengambil maklum laporan media berhubung peletakan jawatan beberapa Ahli Jawatankuasa AMK Cabang Pandan yang kemudiannya disusuli dengan dakwaan bahawa AMK tersebut telah “terbubar”.

"Sebarang persoalan mengenai status organisasi parti perlu dirujuk dan ditafsir berdasarkan Perlembagaan Parti serta Peraturan Angkatan Muda KEADILAN (Pindaan 2025) secara menyeluruh, dan bukannya dibuat secara simplistik berdasarkan persepsi atau kenyataan sepihak," tegasnya.


Khairul Naim menegaskan Fasal 13.9 Peraturan AMK memperuntukkan bahawa sekiranya dua pertiga (2/3) Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda KEADILAN Cabang berhenti atau gagal dikesan, maka Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN hendaklah memanggil pemilihan parti bagi tujuan memilih Jawatankuasa AMK Cabang yang baharu.

Namun jelasnya, peruntukan tersebut tidak secara automatik membawa tafsiran bahawa sesebuah cabang itu “terbubar” dalam erti kata organisasi terhenti atau hilang keseluruhan fungsinya serta-merta.


"Malah, Fasal 13.10 hingga 13.13 Peraturan Angkatan Muda KEADILAN turut memperuntukkan mekanisme berkaitan pengisian kekosongan jawatan dan kesinambungan pentadbiran organisasi.


"Justeru, semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada proses serta tafsiran organisasi dibuat secara tertib, berhemah dan selaras dengan peraturan parti yang sedang berkuat kuasa," tambahnya.


Menerusi kenyataan serupa, beliau turut menegaskan bahawa AMK dibina atas kekuatan perjuangan, idealisme dan akar umbi yang jauh lebih besar daripada mana-mana kelompok atau kepentingan peribadi.


Justeru, AMK tidak akan tergugat hanya kerana tindakan dua tiga kerat individu yang meninggalkan parti itu.


"Dalam apa jua keadaan, fokus utama AMK harus kekal kepada usaha memperkukuh gerakan anak muda serta membawa suara dan kepentingan rakyat," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page