top of page

Covid 19: Kerajaan gagal lindungi warga marhaen di Kuala Lumpur



Peningkatan pengangguran ketua isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur sebanyak dua kali ganda daripada 7% pada September 2020 kepada 15% pada Disember 2020 amat mengejutkan.


Bagi Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, bahagian ketiga kajian bersama antara UNICEF dan UNDP yang mendedahkan keadaan yang buruk pada tempoh waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kedua tahun lalu perlu dipandang serius oleh kerajaan Perikatan Nasional.


Katanya, dalam laporan "Families on Edge" itu, hal yang mengejutkan adalah 63% isi rumah mengalami kesukaran untuk memenuhi keperluan asas dan membeli barang keperluan harian walaupun menerima bantuan zakat atau bantuan sosial kerajaan.


"Lebih parah, kadar kemiskinan dalam sampel kajian adalah 42% pada bulan Disember 2020, termasuk 55% untuk isi rumah yang diketuai oleh orang kurang upaya (OKU) dan 61% untuk isi rumah diketuai wanita.


"Yang lebih membimbangkan ialah keluarga ini juga mulai semakin hilang harapan, dengan hanya 10% mengharapkan keadaan kewangan mereka bertambah baik dan 52% ketua isi rumah mengalami tekanan kerana tidak dapat menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga mereka. Yang mana 59% daripadanya adalah wanita," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Nik Nazmi lagi, dapatan kajian tersebut merupakan fakta yang memalukan tentang kegagalan kerajaan pusat PN dalam mengawal pandemik Covid-19 dan kegagalan dalam mencegah kejatuhan sosio-ekonomi rakyat.


Dalam makna mudah, kata Nik Nazmi, PN telah gagal melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.


"Mereka tidak menghiraukan saranan yang baik, tidak kiralah dari wakil rakyat atau sarjana perubatan, badan industri dan kumpulan masyarakat awam.


"Apa yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang menderita adalah pakej rangsangan semberono, dan Belanjawan 2021 yang tidak dapat mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi. Tumpuan mereka hanya berfokus pada kelangsungan politik dan pertambahan politiknya sendiri," katanya.


Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN itu menyeru agar Kerajaan Persekutuan menunjukkan bahawa mereka lebih terbuka untuk melibatkan pemegang taruh rentas parti dan komuniti untuk menjalin dasar yang dapat melawan pandemik.


"Kita perlu memastikan pemulihan Malaysia, termasuk dengan mengubah dasar kesihatan awam yang gagal dan dasar sosio-ekonomi yang tidak efektif.


"Kegagalan berbuat demikian akan mengancam ramai rakyat Malaysia yang terus menderita dan semakin hari semakin menjalani kehidupan yang sukar," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page