Caruman PERKESO 40,000 petugas masjid tidak guna wang pendeposit TH – Dr Zulkifli


Kerajaan menegaskan tiada dana pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) digunakan untuk membiayai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas masjid dan guru takmir di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan berkata peruntukan bagi inisiatif itu adalah sepenuhnya daripada kerajaan, manakala TH hanya berperanan sebagai saluran pengurusan.
"Peruntukan berkenaan adalah 100 peratus bersumberkan peruntukan khas Kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme TH semata-mata atas kapasiti pengurusan," katanya dalam kenyataan media.
Beliau menegaskan dakwaan bahawa wang simpanan jemaah haji digunakan untuk membiayai caruman berkenaan adalah tidak benar dan bersifat spekulatif.
"Segala dakwaan atau andaian yang menyatakan wujudnya penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif," katanya.
Menurut Dr Zulkifli, langkah kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO itu membabitkan 40,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir di seluruh negara.
Katanya, inisiatif berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap khidmat bakti golongan yang memainkan peranan penting dalam hal ehwal Islam, selain memastikan kebajikan dan perlindungan sosial mereka terus terpelihara.
Beliau berkata, usaha itu dizahirkan bagi menjamin kesejahteraan petugas serta pendidik masyarakat yang sentiasa berkhidmat di barisan hadapan syiar Islam.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan kerajaan kekal komited memelihara integriti pengurusan amanah TH dan memastikan tadbir urus korporatnya dilaksanakan secara telus serta berteraskan prinsip Syariah.
"Usaha murni memartabatkan kebajikan para petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi, demi memastikan kemakmuran institusi agama dan keberkatan pembangunan ummah di bumi Malaysia sentiasa terpelihara," katanya.




Comments