Campur tangan AS: Bawa ke pihak berkuasa, bukan jadi modal politik
- Azuan Ab Rahman

- 9 hours ago
- 1 min read

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar) mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan cubaan campur tangan negara asing bagi menjatuhkan kerajaan Malaysia.
Hal itu susulan dakwaan Presiden Pas, Hj Hadi Awang bahawa bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Menerusi satu kenyataan, Aiman Athira menyifatkan dakwaan tersebut amat serius dan sekiranya benar, ia sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa, bukan dijadikan modal politik di atas pentas Muktamar Tahunan Pas.
"Jika benar wujud cubaan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, ia bukan bahan untuk dibanggakan di pentas politik.
"Ia adalah perkara yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara," katanya dipetik laporan media.
Hj Hadi pada Sabtu mendakwa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepada pemimpin Pas mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.
Pertemuan tersebut menurut Hj Hadi berlaku sekitar waktu lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia.
Bagaimanapun, Kedutaan AS pada Ahad menolak dakwaan Hj Hadi dengan menyifatkannya sebagai palsu dan menegaskan kedutaan itu tidak pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia.
Sementara itu Aiman Athira menegaskan, dakwaan membabitkan kuasa asing dan politik dalaman negara bukan perkara kecil kerana ia menyentuh soal kedaulatan negara, integriti, proses demokrasi serta maruah politik Malaysia.
Malah keperluan Kedutaan AS mengeluarkan penjelasan berhubung dakwaan berkenaan adalah sesuatu yang memalukan negara di peringkat antarabangsa.
"Politik Malaysia tidak seharusnya dibina atas teori konspirasi, persepsi atau tuduhan separuh masak yang akhirnya boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi dan negara," katanya.




Comments