Kempen calon termuda Pakatan Harapan (PH) DUN Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dikuatkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Wong Chen berkata, pasukannya sudah bersedia untuk membantu Farzana dalam memenangi hati pengundi di kerusi tersebut.
"Pasukan saya akan berada di Sungai Rambai mulai hari ini dan seterusnya. Kami akan menyediakan terutamanya, analisis data dan bantuan kempen media.
"Mengetuai pasukan saya ialah bekas pegawai saya yang sangat berkebolehan, Alethea. Dia akan mengetuai pasukan muda pegawai dan sukarelawan.
"Sungai Rambai bukanlah kerusi yang mudah, kerana ia adalah kubu kuat UMNO. Namun begitu, pasukan saya yakin dan akan melakukan yang terbaik untuk membantu menghadiahkan kemenangan pilihan raya untuk Farzana," katanya.
Farzana menjadi calon paling muda PH dan paling muda di PRN Melaka apabila dicalonkan pada usia 21 tahun.
Beliau akan berdepan calon BN yang baharu, Siti Faizah Abdul Aziz yang menggantikan penyandang kerusi tiga penggal Hassan Abd Rahman yang meraih undi majoriti 1,669 pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Farzana turut berdepan cabaran dari dua calon lagi iaitu calon Bersatu, Muhammad Jefri Safry dan calon Putra, Nazatul Asyraf Md Dom.
Comments